- Iklan -
Luar Sana

Seoul kenakan sekatan ke atas kumpulan penggodam Korea Utara

Ia sebagai tindak balas terhadap pelancaran roket satelit pengintip tentera di angkasa oleh Pyongyang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang tentera Korea Selatan berjalan melepasi skrin televisyen yang menunjukkan siaran berita dengan rakaman fail pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, di Stesen Kereta Api Seoul pada 31 Mei. Gambar: AFP
Seorang tentera Korea Selatan berjalan melepasi skrin televisyen yang menunjukkan siaran berita dengan rakaman fail pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, di Stesen Kereta Api Seoul pada 31 Mei. Gambar: AFP

Korea Selatan pada Jumaat mengenakan sekatan unilateral ke atas kumpulan penggodam Korea Utara yang dikenali sebagai Kimsuky sebagai tindak balas terhadap pelancaran roket satelit pengintip tentera di angkasa oleh Pyongyang, menurut kementerian luar.

Seoul bersama Washington juga mengeluarkan nasihat keselamatan yang memberi amaran kepada masyarakat antarabangsa mengenai aktiviti haram kumpulan itu yang didakwa terlibat dalam kecurian maklumat dan teknologi, lapor agensi berita Yonhap.

Menurut kementerian itu, Kimsuky, sebuah unit dalam Biro Am Peninjau, agensi perisikan tentera Korea Utara, dituduh mengumpul risikan daripada individu dan institusi dalam bidang diplomasi, keselamatan dan pertahanan negara, dan menyerahkannya kepada rejim Korea Utara.

Kumpulan itu juga diketahui terlibat dalam memperoleh teknologi canggih berkaitan pembangunan senjata, satelit dan teknologi angkasa di seluruh dunia yang secara langsung atau tidak langsung membantu dalam projek pembangunan satelit Korea Utara.

Tindakan Seoul itu merupakan sekatan unilateral pertama di dunia terhadap kumpulan penggodam Korea Utara. Ia juga mewakili langkah sekatan unilateral kelapan terhadap Utara sejak pentadbiran Yoon Suk Yeol bermula Mei tahun lalu.

Nasihat bersama Seoul-Washington mengenai Kimsuky itu mengandungi maklumat terperinci tentang teknik penggodaman yang digunakan oleh kumpulan itu selain mengesyorkan langkah berjaga-jaga terhadap aktiviti yang mencurigakan itu.

Nasihat itu dikeluarkan bersama oleh Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) Korea Selatan, Agensi Polis Kebangsaan Korea (KPNA), kementerian luar negeri, Biro Siasatan Persekutuan AS, jabatan negara dan Agensi Keselamatan Negara.

Korea Utara mengakui bahawa percubaannya untuk melancarkan satelit pengintip ketenteraan ke orbit pada Rabu pagi telah gagal, dan berjanji untuk melancarkan semula "secepat mungkin".

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.