- Iklan -
Luar Sana

Vietnam patahkan sindiket seludup dadah antarabangsa, rampas 62 kg dadah

Polis berkata perniagaan ini dilihat biasa tetapi digunakan untuk menjual dadah dan mencuci wang hasil dadah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Vietnam berkibar di atas bangunan di tengah Hanoi, Vietnam, 23 November 2017. Gambar: Reuters
Bendera Vietnam berkibar di atas bangunan di tengah Hanoi, Vietnam, 23 November 2017. Gambar: Reuters

Polis Vietnam menahan empat orang dalam operasi membanteras rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa dari Eropah ke negara Asia Tenggara, lapor Xinhua memetik Vietnam News pada Khamis.

Hoang Tien Dung, 27, yang disyaki ketua kumpulan itu dilaporkan mengurus syarikat perniagaan air tulen, perkhidmatan restoran dan pengangkutan di wilayah Hung Yen, kata Jabatan Polis Siasatan Jenayah Dadah di Hanoi.

Polis berkata perniagaan ini dilihat biasa tetapi digunakan untuk menjual dadah dan mencuci wang hasil dadah.

Dung bersama isterinya Le Thi Huyen, 25, dituduh mengedar dadah yang disembunyikan dalam makanan dan barangan rumah dari Eropah melalui sistem pos antarabangsa.

Turut didakwa Tran Van Tuan, 19, kerana bersubahat manakala Dao Ngoc Long, 35, sebagai orang tengah.

Polis Hanoi, dengan kerjasama pihak berkuasa kastam bandar itu, sebelum ini merampas satu bungkusan yang dihantar dari Belanda dan satu lagi bungkusan dari Republik Czech melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai.

Rampasan itu membawa kepada penahanan isteri ketua sindiket itu pada 4 Mei lalu dengan hampir 20 kg pelbagai jenis dadah disembunyikan dalam tin bir dan mesin pembancuh  kopi serta 0.13 gram dadah sintetik.

Pasukan petugas itu kemudian menahan ketua sindiket bersama dua rakan subahat dan merampas lebih 42 kg pelbagai jenis dadah yang disembunyikan dalam beg teh dan kopi.

Polis Vietnam berkata rampasan dadah dari kargo udara yang dihantar ke negara itu meningkat dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Dadah sintetik diseludup masuk melalui udara ke Vietnam dari negara pengeluar Eropah seperti Jerman, Belanda, Britain, Belgium dan Perancis, kata Jabatan Polis Siasatan Dadah Kementerian Keselamatan Awam. 

Di Vietnam, pengedaran dadah membawa hukuman mati maksimum bagi mereka yang didapati bersalah menyeludup lebih 600 gram heroin atau lebih daripada 2.5 kg methamphetamine.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.