- Iklan -
Luar Sana

Sunak, Biden tegaskan 'sokongan tidak berbelah bahagi' untuk Ukraine

Kedua-dua pemimpin itu menekankan keperluan untuk penyelarasan keselamatan jangka panjang buat Ukraine sebagai pencegahan terhadap pencerobohan oleh Presiden Rusia Vladimir Putin.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Britain Rishi Sunak mendengar ketika Presiden AS Joe Biden berucap pada sidang akhbar bersama di Bilik Timur di Rumah Putih di Washington, AS, 8 Jun. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Britain Rishi Sunak mendengar ketika Presiden AS Joe Biden berucap pada sidang akhbar bersama di Bilik Timur di Rumah Putih di Washington, AS, 8 Jun. Gambar: Reuters

Perdana Menteri Britain Rishi Sunak dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menegaskan "sokongan tidak berbelah bahagi" mereka untuk Ukraine, dengan presiden berkata AS akan membantu Kyiv "selagi diperlukan", lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kedua-dua pemimpin itu menekankan keperluan untuk penyelarasan keselamatan jangka panjang buat Ukraine sebagai pencegahan terhadap pencerobohan oleh Presiden Rusia Vladimir Putin.

Pada sidang media bersama di Rumah Putih pada Jumaat, Biden ditanya mengenai keraguan berkaitan lebih banyak pembiayaan untuk Ukraine dalam kalangan beberapa Ahli Parlimen dari Parti Republikan.

Presiden yang ahli Demokrat, berkata: “Saya percaya kami akan mempunyai pembiayaan yang diperlukan untuk menyokong Ukraine selagi diperlukan.

"Dan saya percaya bahawa sokongan itu akan menjadi kenyataan walaupun timbul cakap-cakap di Capitol Hill hari ini tentang sama ada kita harus terus menyokong Ukraine atau tidak dan berapa lama kita harus menyokong mereka," katanya.

Beliau berkata Moscow tidak akan menghentikan pencerobohannya jika Barat tidak menyokong Kyiv.

Dalam pada itu Sunak berkata: “Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan presiden – ia mengenai pencegahan. Presiden Putin akan berfikir bahawa beliau boleh menunggu pengunduran kita, pakatan akan letih, akan menjadi penat dan akan menyerah. Sekarang, itu tidak berlaku.

“Dan lebih banyak sokongan kita untuk Ukraine, bukan sahaja di sini dan sekarang, tetapi sokongan yang akan bertahan untuk satu masa dan tahun-tahun akan datang, saya percaya ia menghantar isyarat kuat kepada beliau (Putin) bahawa tidak ada gunanya cuba menunggu kami keluar, kami tidak akan ke mana-mana. Kami akan berada di sini selama yang diperlukan.”

Biden sementara itu mengucapkan terima kasih kepada Sunak atas "kepimpinannya yang kuat” dalam perang di Ukraine.

Kedua-dua pemimpin itu menyatakan "sokongan yang tidak berbelah bagi rakyat Ukraine," kata presiden AS itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.