- Iklan -
Luar Sana

India, Turkiye, Nigeria ancam tutup Twitter, kata pengasas

Twitter diugut untuk mematuhi arahan untuk menyekat beberapa akaun, dengan India mahu menyekat penggunaan media sosial oleh wartawan dan penunjuk perasaan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Logo Twitter di ibu pejabat korporatnya di San Francisco, California, Amerika Syarikat pada 18 November 2022. Gambar: Reuters
Logo Twitter di ibu pejabat korporatnya di San Francisco, California, Amerika Syarikat pada 18 November 2022. Gambar: Reuters

Twitter diancam akan ditutup di India, Nigeria dan Turkiye melainkan syarikat itu mematuhi arahan untuk menyekat beberapa akaun, kata pengasas bersama Jack Dorsey pada Isnin.

Menurut Dorsey, India berhasrat menyekat penggunaan platform media sosial itu oleh wartawan dan penunjuk perasaan.

Dorsey berhenti daripada jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter pada 2021 sebelum platform media sosial itu dibeli jutawan Elon Musk pada 2022.

"Sebagai contoh, India adalah sebuah negara yang mempunyai banyak permintaan daripada kami di sekitar bantahan petani, di sekitar wartawan tertentu yang mengkritik kerajaan," kata Dorsey, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, dalam temu bual kepada rancangan berita YouTube Breaking Points.

Petani India menamatkan protes selama setahun pada akhir 2021 selepas memenangi pampasan daripada kerajaan berhubung undang-undang perladangan. 

Demonstrasi itu adalah antara yang terbesar dihadapi kerajaan India di bawah pentadbiran Perdana Menteri Narendra Modi dan parti nasionalis Hindu, Bharatiya Janata (BJP).

Dorsey menjelaskan, ancaman itu dilaksanakan dengan memberi bayangan bahawa kerajaan akan menutup Twitter di India, yang juga pasaran sangat besar untuk media sosial terbabit.

Beliau berkata, selain itu terdapat ancaman 'kami akan menyerbu rumah pekerja anda,' yang mereka lakukan, selain 'kami akan menutup pejabat anda jika anda tidak mahu mengikut arahan'.

"Ini adalah India, sebuah negara demokrasi," tambahnya.

Kerajaan India sebelum ini menafikan dakwaan bahawa ia mengarahkan sekatan maklumat tertentu dalam talian dan mengatakan ia hanya bertujuan untuk menyekat maklumat salah dan siaran yang menyekat keamanan dan keselamatan. 

Dorsey juga berkata, tekanan yang sama turut diterima daripada kerajaan di Turkiye dan Nigeria, yang telah menyekat platform media sosial berkenaan di negara mereka pada tahap berbeza selama bertahun-tahun sebelum menarik balik larangan tersebut.

"Turkiye sangat sama (dengan India), seperti kami mendapat begitu banyak permintaan daripada Turkiye. Kami menentang Turkiye di mahkamah mereka dan sering menang, tetapi mereka sentiasa mengancam untuk menutup kami," katanya. 

Dorsey juga menambah bahawa situasi di Nigeria pula adalah berbeza sehingga Twitter tidak dapat meletakkan pekerjanya di negara itu kerana bimbang terhadap ancaman daripada kerajaan berkenaan kepada mereka.

Nigeria telah menggantung operasi Twitter pada 2021 selepas ia menurunkan ciapan daripada presiden ketika itu Muhammadu Buhari yang mengancam untuk menghukum puak pemisah di rantau itu. 

Bagaimanapun, larangan itu ditarik balik pada awal 2022 selepas Twitter bersetuju untuk membuka pejabat tempatan di negara itu, hasil perjanjian dengan pihak berkuasa. 

Justeru, kumpulan advokasi melahirkan kebimbangan mengenai situasi hak asasi manusia di India, Turkiye dan Nigeria.