Singapura "secara progresif akan mengerahkan" lebih banyak robot peronda di seluruh republik itu, kata polis semalam, selepas lebih lima tahun percubaan berskala kecil.
Robot telah dikerahkan di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi mulai April "untuk menambah pegawai polis barisan hadapan dalam menjalankan rondaan di premis berkenaan", kata Pasukan Polis Singapura (SPF).
Lebih banyak robot akan ditempatkan di seluruh bandar dengan jumlah penduduk 5.6 juta orang. Populasi kecil dan kadar kelahiran yang rendah menyebabkan Singapura perlu menggunakan teknologi untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja.
"SPF merancang untuk mengerahkan lebih banyak robot peronda secara progresif untuk menambah operasi polis di seluruh Singapura," kata SPF dalam satu kenyataan, tanpa memberikan tempoh waktu pelaksanaannya.
Robot tersebut dilengkapi dengan kamera, penderia, pembesar suara, panel paparan, kelip mata dan siren.
Sebatang tiang boleh laras dengan kamera 360 darjah memberikan pandangan di lapangan kepada pegawai di dalam bilik kawalan, dan saluran dua hala membolehkan mereka bercakap secara langsung dengan orang ramai.
"Robot peronda adalah tambahan terbaharu kepada senjata teknologi SPF, berkebolehan melakukan rondaan autonomi dan memberikan polis gambaran situasi yang dipertingkatkan untuk membolehkannya untuk membuat keputusan yang lebih baik," kata polis.
Menurut SPF, menggunakan kelipan, siren dan pembesar suara, robot itu boleh "melakukan kawalan atau memberi amaran kepada orang yang melihat semasa kejadian sebelum tibanya" polis manusia.