- Iklan -
Luar Sana

Amazon tipu ‘jutaan pengguna' untuk daftar Prime

Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan berkata Amazon menggunakan 'reka bentuk antara muka pengguna yang manipulatif, paksaan atau memperdaya yang dikenali sebagai 'corak gelap' untuk menipu pengguna supaya mendaftar dalam langganan Prime yang memperbaharui secara automatik’.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan melepasi logo Amazon Prime Video sewaktu pelancarannya di Mumbai, India, 28 April 2022. Gambar: Reuters
Seorang lelaki berjalan melepasi logo Amazon Prime Video sewaktu pelancarannya di Mumbai, India, 28 April 2022. Gambar: Reuters

Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) memfailkan saman terhadap Amazon.com Inc semalam, selepas peruncit itu mengenakan caj langganan berbayar terhadap jutaan pengguna perkhidmatan Amazon Prime tanpa persetujuan mereka dan menyukarkan pelanggan untuk membatalkannya. 

FTC berkata ia memfailkan saman di Mahkamah Daerah AS di Seattle mendakwa "Amazon secara sedar telah menipu jutaan pengguna untuk mendaftar secara tidak sedar dalam Amazon Prime." 

Menurut FTC, Amazon menggunakan "reka bentuk antara muka pengguna yang manipulatif, paksaan atau menipu yang dikenali sebagai 'corak gelap' untuk menipu pengguna supaya mendaftar dalam langganan Prime yang memperbaharui secara automatik." 

Amazon Prime menawarkan penghantaran pantas dan percuma untuk berjuta item, pelbagai diskaun dan akses kepada filem, muzik dan siri televisyen, serta faedah lain. 

Pengguna utama Prime di AS biasanya membayar AS$139 (kira-kira RM645) setahun dan memacu sebahagian besar jumlah jualan Amazon. 

Prime mempunyai lebih 200 juta pelanggan di seluruh dunia. 

FTC telah menyiasat proses pendaftaran dan pembatalan untuk program Prime sejak Mac 2021.

"Amazon memperdaya dan memerangkap orang untuk melanggan berulang tanpa persetujuan mereka, bukan sahaja mengecewakan pengguna tetapi juga merugikan mereka," kata Pengerusi FTC Lina Khan.

Pengguna yang cuba membatalkan Prime berdepan dengan beberapa langkah untuk benar-benar menyelesaikan tugas membatalkan, menurut aduan itu.