- Iklan -
Luar Sana

Jualan vape di AS meningkat 47% dari 2020 hingga 2022

Kenaikan itu amat ketara dalam kalangan rokok elektronik berperisa manis yang digemari pengguna muda, yang juga dikenali sebagai vape.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja menyusun perisa untuk rokok elektronik dan peranti vape di kedai di Jersey City, New Jersey, pada 2 Januari 2020. Gambar: AFP
Seorang pekerja menyusun perisa untuk rokok elektronik dan peranti vape di kedai di Jersey City, New Jersey, pada 2 Januari 2020. Gambar: AFP

Jualan rokok elektronik di Amerika Syarikat (AS) melonjak antara 2020 dan 2022, terutama dalam kalangan perisa yang menarik minat pengguna belia, menurut kajian daripada pihak berkuasa kesihatan yang dikeluarkan semalam. 

Kajian Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mendapati keseluruhan jualan unit bulanan rokok elektronik meningkat hampir 47% dari awal 2020 hingga akhir 2022.

Menurut kajian itu Pada Januari 2020, sebelum wabak Covid-19 melanda AS, 15.5 juta rokok elektronik telah dijual, manakala 22.7 juta unit dijual pada Disember 2022. 

Kenaikan itu amat ketara dalam kalangan perisa manis yang digemari oleh pengguna muda rokok elektronik, yang juga dikenali sebagai vape. 

"Selepas Januari 2020, jualan pudina dan kartrij berperisa lain dihentikan, dan rokok elektronik pakai buang berperisa buah, manis dan perisa lain meningkat," menurut kajian yang diterbitkan dalam Laporan Mingguan Morbiditi dan Kematian.

"Rokok elektronik pakai buang dalam berperisa menarik belia kini lebih kerap dijual berbanding unit isian semula," katanya. 

Rokok elektronik telah diperkenalkan pada awal 2000-an sebagai pengganti yang kurang berbahaya untuk rokok biasa, yang padat dengan bahan kimia penyebab kanser. 

Tetapi kajian terbaru badan penyelidikan menunjukkan vape juga boleh menyebabkan ketagihan, dan selalunya menyebabkan pengguna muda beralih kepada rokok sebagai cara untuk membetulkan nikotin mereka. 

Menurut CDC, secara keseluruhan belia dan dewasa muda cenderung menggunakan rokok elektronik lebih daripada orang dewasa – lebih 14% pelajar sekolah menengah AS berkata mereka telah menggunakan vape pada bulan terakhir pada 2022, manakala tahun sebelum itu hanya 4.5% daripada orang dewasa menggunakannya.

"Industri tembakau amat menyedari bahawa rokok elektronik berperisa menarik minat kanak-kanak, dan golongan muda secara unik terdedah kepada ketagihan nikotin," kata Ketua Truth Initiative Robin Koval dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh CDC sebagai respons pantas semalam.

"Kita semua mesti berusaha lebih mendesak untuk melindungi belia negara kita daripada semua rokok elektronik berperisa, termasuk jenis pakai buang," tambahnya.