- Iklan -
Luar Sana

Semua 5 penumpang kapal selam Titan disahkan maut selepas meletup

Pengumuman suram itu menamatkan operasi mencari dan menyelamat multinasional sejak kapal pelancong kecil itu hilang di Atlantik Utara empat hari lalu.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Imej satelit menunjukkan beberapa kapal mengambil bahagian dalam operasi mencari dan menyelamat yang dikaitkan dengan kapal selam Titan yang hilang berhampiran bangkai kapal Titanic, 22 Jun. Gambar: Reuters
Imej satelit menunjukkan beberapa kapal mengambil bahagian dalam operasi mencari dan menyelamat yang dikaitkan dengan kapal selam Titan yang hilang berhampiran bangkai kapal Titanic, 22 Jun. Gambar: Reuters

Kesemua lima penumpang kapal selam yang hilang berhampiran bangkai kapal Titanic sejak Ahad lalu disahkan meninggal dunia 

Menurut Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) kapal selam berkenaan dipercayai meletup dalam sekelip mata.

Pengumuman suram itu menamatkan operasi mencari dan menyelamat multinasional sejak kapal pelancong kecil itu hilang di Atlantik Utara empat hari lalu. 

Laksamana Muda John Mauger memberitahu wartawan di Boston bahawa analisis menunjukkan serpihan yang ditemui di dasar laut, 1,600 kaki (500m) dari haluan Titanic, adalah konsisten dengan letupan ruang tekanan kapal selam itu. 

"Bagi pihak Pengawal Pantai AS dan seluruh perintah bersatu, saya mengucapkan takziah kepada keluarga," kata Mauger. 

Penumpang kapal tersebut ialah penjelajah British Hamish Harding, pakar kapal selam Perancis Paul-Henri Nargeolet, taikun Pakistan-British Shahzada Dawood dan anaknya Suleman, dan Stockton Rush, Ketua Pegawai Eksekutif pengendali kapal selam OceanGate Expeditions.

OceanGate berkata "hatinya bersama lima jiwa ini dan setiap ahli keluarga mereka pada masa yang tragis ini." 

"Semua mangsa adalah penjelajah sejati yang berkongsi semangat pengembaraan yang berbeza, dan semangat mendalam untuk meneroka dan melindungi lautan dunia," katanya dalam satu kenyataan.

"Kami bersedih atas kehilangan nyawa dan kegembiraan yang mereka bawa kepada semua orang yang mereka kenali." 

Pengawal Pantai awal semalam mengumumkan bahawa robot bawah air telah menemui "medan serpihan" di kawasan pencarian. 

'Persekitaran yang sukar' 

Pihak berkuasa berkata mereka kemudian mengetahui kepingan itu termasuk kon ekor kapal selam dan bahagian depan dan belakang badan tekanannya.

Mauger berkata Pengawal Pantai tidak dapat memastikan bila atau mengapa kapal itu meletup dan enggan mendedahkan sama ada mayat mangsa akan dibawa keluar.

"Ini adalah persekitaran yang sangat menyukarkan di dasar laut," katanya. 

Proses menyahmobilkan kakitangan dan kapal dari tempat kejadian tidak lama lagi akan bermula tetapi robot tanpa pemandu akan meneruskan operasi di dasar laut buat masa ini, tambah Mauger. 

“Kami akan mengumpul seberapa banyak maklumat yang boleh,” katanya. 

Semalam, Wall Street Journal melaporkan tentera AS pada asalnya mengesan kemungkinan letupan kapal itu pada peranti pemantauan bunyi dasar laut sejurus selepas ia hilang pada Ahad.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.