- Iklan -
Luar Sana

Lembaga pengawasan Meta gesa gantung akaun Facebook PM Kemboja

Sebarang penggantungan akan menutup laman Facebook perdana menteri itu kurang daripada sebulan sebelum pilihan raya di Kemboja.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Kemboja Hun Sen menghadiri sidang kemuncak Asean yang diadakan di Phnom Penh, Kemboja 11 November 2022. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Kemboja Hun Sen menghadiri sidang kemuncak Asean yang diadakan di Phnom Penh, Kemboja 11 November 2022. Gambar: Reuters

Lembaga pengawasan syarikat induk Facebook, Meta Platforms pada Khamis berkata Perdana Menteri Kemboja Hun Sen harus digantung daripada laman media sosial selama enam bulan kerana menyiarkan video yang melanggar peraturan terhadap ancaman keganasan. 

Lembaga itu, yang dibiayai oleh Meta tetapi beroperasi secara bebas, berkata syarikat itu telah salah untuk tidak mengalih keluar video itu selepas ia diterbitkan pada Januari. 

Meta, dalam satu kenyataan bertulis, bersetuju untuk menurunkan video itu tetapi berkata ia akan bertindak balas kepada saranan lembaga untuk menggantung Hun Sen selepas semakan. 

Sebarang penggantungan akan menutup laman Facebook milik perdana menteri itu kurang daripada sebulan sebelum pilihan raya di Kemboja. 

Pembangkang dan kumpulan hak asasi berkata tinjauan itu adalah palsu – tuduhan yang diketepikan oleh kerajaan.

Akaun Facebook Hun Sen tidak dapat diakses sejak semalam.

Perdana menteri – salah seorang pemimpin paling lama berkhidmat di dunia selepas hampir empat dekad berkuasa – berkata pada Rabu bahawa beliau beralih daripada Facebook kepada aplikasi pemesejan Telegram untuk menjangkau lebih ramai orang, tanpa menyebut tentang video itu. 

Jurucakap Meta berkata syarikat itu tidak menggantung atau mengalih keluar akaunnya. 

Tiada ulasan segera kerajaan mengenai kes itu semalam. 

Keputusan itu adalah yang terbaharu dalam beberapa siri teguran oleh lembaga pengawasan berhubung cara syarikat media sosial terbesar dunia itu mengendalikan kenyataan perbalahan oleh pemimpin politik dan siaran yang menyeru keganasan menjelang pilihan raya. 

Usaha integriti pilihan raya syarikat menjadi tumpuan ketika Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia untuk pilihan raya presiden tahun depan.

Lembaga itu mengesahkan tindakan Meta menyekat akaun Facebook bekas presiden AS Donald Trump pada 2021 – calon presiden Republikan 2024 – selepas rusuhan maut di Capitol Hill pada 6 Januari, tetapi mengkritik sifat penggantungannya yang tidak pasti dan menggesa persiapan lebih berhati-hati untuk situasi politik tidak menentu secara keseluruhan. 

Meta bagaimanapun mengembalikan semula akaun bekas presiden AS itu awal tahun ini. 

Kes di Kemboja berlaku selepas beberapa pengguna melaporkan video tersebut pada Januari di mana Hun Sen berkata mereka yang menuduh Parti Rakyat Kemboja (CPP) membeli undi dalam pilihan raya tempatan 2022 harus memfailkan kes undang-undang, atau berdepan ancaman daripada penyokong CPP. 

Menurut keputusan itu, Meta pada ketika itu memutuskan bahawa video tersebut melanggar peraturan, tetapi memilih untuk mengekalkannya mengikut pengecualian "kelayakan berita", dengan alasan bahawa orang ramai berminat untuk mendengar amaran keganasan oleh kerajaan mereka.