- Iklan -
Luar Sana

Isu bekalan elektrik di Afrika Selatan hampir diselesaikan, kata menteri

Afrika Selatan dijangka mengalami gangguan bekalan elektrik paling lama dalam sejarah tahun ini dengan pemotongan bekalan elektrik berlanjutan sehingga hampir 10 jam sehari.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan di bawah tiang elektrik ketika bekalan elektrik sering terputus di Afrika Selatan Eskom, disebabkan oleh loji arang batu yang sudah tua, di Orlando, Soweto, Afrika Selatan, 16 Januari. Gambar: Reuters
Seorang lelaki berjalan di bawah tiang elektrik ketika bekalan elektrik sering terputus di Afrika Selatan Eskom, disebabkan oleh loji arang batu yang sudah tua, di Orlando, Soweto, Afrika Selatan, 16 Januari. Gambar: Reuters

Menteri elektrik Afrika Selatan mengumumkan negara itu semakin hampir untuk menamatkan pemotongan bekalan elektrik setiap hari ketika cuaca lebih panas kembali menjelang akhir tahun, tetapi enggan memberikan tarikh tertentu. 

Afrika Selatan dijangka mengalami gangguan bekalan elektrik paling lama dalam sejarah tahun ini dengan pemotongan bekalan elektrik berlanjutan hingga hampir 10 jam sehari. 

Ia sekali gus menjejaskan perniagaan dan isi rumah dalam ekonomi yang sudah terumbang-ambing disebabkan kadar faedah dan inflasi yang tinggi.

Menurut bank pusat bulan lepas, pemotongan bekalan kuasa di negara tersebut, dijangka mengurangkan 2 mata peratusan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

Gangguan bekalan elektrik berkurangan dalam beberapa minggu lalu tetapi terdapat kebimbangan bahawa apabila musim sejuk di hemisfera selatan semakin kuat pada bulan Julai dan Ogos.

Ini menyebabkan permintaan kepada alat pemanas yang lebih tinggi boleh menjejaskan banyak loji jana kuasa. 

Menjelang September, suhu mula naik sekali lagi. 

"Saya tahu apabila kita masuk ke dalam keadaan musim panas, maka pada kadar semasa, penjanaan akan jauh melebihi permintaan," kata Menteri Elektrik Kgosientsho Ramokgopa dalam sidang akhbar.

Katanya, disebabkan campur tangan mengenai penyelenggaraan sistem dan ketersediaan serta penggunaan tenaga daripada sektor perniagaan dan isi rumah, senario terburuk permintaan musim sejuk adalah sebanyak 34,000 megawatt (MW) dan masih belum dapat dicapai. 

Kapasiti yang ada ketika ini adalah sekitar 29,000MW, memberikan ruang yang cukup untuk mengurangkan bekalan elektrik ke Peringkat 3, di mana 3,000MW dikeluarkan dari grid, yang membawa kepada antara dua dan empat jam pemotongan elektrik setiap hari, tambah menteri itu. 

Afrika Selatan melaksanakan pemotongan kuasa secara berperingkat dari satu hingga lapan dengan lapan adalah yang tertinggi dan diterjemahkan kepada lebih 10 jam pemotongan bekalan elektrik setiap hari. 

Ramokgopa berkata negara sedang mencapai tahap di mana penjanaan kuasa mula melebihi permintaan, dengan gangguan bekalan elektrik menurun dari Peringkat 6 ke Peringkat 3 dalam tempoh enam minggu. 

Katanya, Afrika Selatan tidak lama lagi mungkin bebas daripada mengalami gangguan bekalan elektrik selama 24 jam. 

"Saya ingin katakan kepada rakyat Afrika Selatan bahawa kita semakin hampir dengan tarikh itu," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.