- Iklan -
Luar Sana

Pengguna perlu dapat pengesahan untuk akses TweetDeck, kata Twitter

Mengenakan bayaran terhadap TweetDeck meningkatkan hasil kepada Twitter yang bergelut untuk mengekalkan hasil pengiklanan di bawah pemilikan jutawan Elon Musk.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Logo Twitter di ibu pejabat korporatnya di San Francisco, California, Amerika Syarikat 18 November 2022. Gambar: Reuters
Logo Twitter di ibu pejabat korporatnya di San Francisco, California, Amerika Syarikat 18 November 2022. Gambar: Reuters

Pengguna Twitter tidak lama lagi perlu mendapatkan pengesahan terlebih dulu sebelum menggunakan TweetDeck, kata syarikat media sosial itu dalam ciapan semalam. 

Perubahan itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 30 hari, kata syarikat itu. 

Twitter membuat pengumuman dalam kiriman yang memperincikan versi TweetDeck yang dipertingkatkan dengan ciri baharu. 

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Twitter akan mengenakan bayaran kepada pengguna untuk versi baharu dan lama TweetDeck. 

Reuters cuba mendapatkan maklum balas daripada Twitter namun tidak berjaya. 

Mengenakan bayaran terhadap TweetDeck, yang sebelum ini percuma dan digunakan secara meluas oleh perniagaan dan pertubuhan berita untuk memantau kandungan dengan mudah, boleh membawa peningkatan hasil kepada Twitter, yang bergelut untuk mengekalkan hasil pengiklanan di bawah pemilikan jutawan Elon Musk.

Langkah itu dibuat hanya beberapa hari selepas Musk berkata bahawa kedua-dua pengguna yang disahkan dan tidak disahkan akan mempunyai bilangan siaran terhad yang boleh mereka baca setiap hari "untuk menangani tahap pengikisan data melampau & manipulasi sistem." 

Pengumumannya mencetuskan tindak balas negatif daripada pengguna di Twitter, dan pakar iklan berkata ia akan menjejaskan Ketua Pegawai Eksekutif baru, Linda Yaccarino, yang memulakan tugasnya bulan lepas. 

Individu mesti membayar AS$8 (kira-kira RM37) sebulan untuk mengesahkan akaun mereka, manakala pertubuhan perlu membayar AS$1,000 sebulan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.