- Iklan -
Luar Sana

Parlimen Indonesia lulus pindaan undang-undang penjagaan kesihatan di sebalik bantahan

Ratusan pengamal perubatan membuat protes di luar Parlimen di ibu kota Jakarta, menuntut rundingan awam mengenai pembaharuan itu, yang dikhuatiri boleh melemahkan perlindungan ke atas mereka.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi

Parlimen Indonesia meluluskan pindaan menyeluruh kepada undang-undang penjagaan kesihatan yang bertujuan menarik bakat asing dan menambah baik perkhidmatan.

Pindaan itu bagaimanapun mencetuskan bantahan oleh pengamal perubatan di republik itu yang bimbang mereka mungkin akan hilang pekerjaan.

Ratusan pengamal perubatan membuat protes di luar Parlimen di ibu kota Jakarta, menuntut rundingan awam mengenai pembaharuan itu, yang dikhuatiri boleh melemahkan perlindungan ke atas mereka.

Undang-undang baharu itu akan memudahkan doktor asing berlatih di Indonesia, membolehkan pesakit memfailkan aduan jenayah terhadap pengamal perubatan kerana penyelewengan dan menghapuskan keperluan bagi negeri untuk memperuntukkan 5% daripada bajetnya kepada sektor kesihatan, seorang ahli Parlimen memberitahu Reuters semalam. 

Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin di Parlimen berkata undang-undang tersebut bertujuan mentransformasikan sektor penjagaan kesihatan di negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu.

"Selepas pandemik Covid-19, inilah masanya untuk membina semula sistem kesihatan kita," katanya.

Indonesia, sebuah negara dengan lebih 270 juta penduduk, mempunyai kira-kira tujuh doktor bagi setiap 10,000 orang, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia, di bawah Thailand dengan 9 doktor, Filipina dengan 8 doktor atau Australia dengan 41 doktor setiap 10,000 penduduk. 

Kerajaan berkata pemberian permit untuk doktor asing bertujuan untuk menampung kekurangan kakitangan. 

Timbalan Ketua Suruhanjaya Parlimen yang menyelia sektor kesihatan, Charles Honoris berkata dalam undang-undang baharu itu, pekerja pakar asing mesti sudah bekerja selama lima tahun di luar negara dan lulus penilaian.

Parlimen juga berkata peruntukan belanjawan mandatori berisiko disalahgunakan manakala undang-undang baharu akan membolehkan perbelanjaan lebih bersasar. 

Bagaimanapun, Persatuan Perubatan telah menimbulkan kebimbangan bahawa mengurangkan peruntukan belanjawan mandatori akan membebankan pusat kesihatan awam di seluruh negara.

Undang-undang itu akan berkuat kuasa serta-merta tetapi kerajaan perlu mengeluarkan peraturan lain untuk pelaksanaannya. 

Sementara itu, Ketua Umum Pengurus Besar Ikatan Dokter Indonesia, Mohammed Adib Khumaidi berkata undang-undang baharu itu "akan menjejaskan kestabilan sektor kesihatan". 

Komuniti perubatan juga mengkritik peruntukan yang membenarkan data pesakit dikongsi dengan agensi luar negara. 

Namun menurut Parlimen, data itu hanya boleh dikongsi dengan persetujuan pesakit.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.