Letusan gunung berapi di Iceland berhampiran ibu kota Reykjavik semakin perlahan, kata pakar pada hari ini, beberapa jam selepas pegawai memberi amaran ia akan memuntahkan "gas toksik yang mengancam nyawa".
Polis Iceland mengehadkan akses ke gunung berapi dan penduduk di Semenanjung Reykjanes digalakkan menutup tingkap dan mematikan pengudaraan, kata jabatan perlindungan awam dan pengurusan kecemasan lewat semalam.
Pejabat Kaji Cuaca Iceland, Vedur, berkata bahawa pencemaran gas adalah tinggi dan berbahaya di sekitar letusan, kira-kira 60km dari ibu negara, dan pencemaran berkemungkinan berlaku di Reykjanes dan Reykjavik.
Bagaimanapun, menurut laman sesawang Agensi Alam Sekitar kualiti udara masih dianggap "sangat baik" atau "baik" di kawasan Reykjavik hari ini.
Rakaman letusan pada hari ini menunjukkan terdapat retakan yang telah memendek, aliran lava telah perlahan dan kepulan gas lebih kecil, kata Magnus Tumi Gudmundsson, profesor geofizik di Universiti Iceland, memberitahu penyiar Iceland RUV.
"Ini telah menjadi letusan kecil, yang merupakan berita yang sangat baik," katanya, sambil menambah masih mustahil untuk menilai berapa lama ia akan bertahan.
"Kemungkinan besar ia tidak besar, ia sudah tentu boleh bertahan lama, tetapi nasib baik kita tidak melihat kesinambungan daripada apa yang kami lihat dalam beberapa jam pertama," katanya.
Letusan itu berikutan aktiviti seismik sejak beberapa hari lalu dan diklasifikasikan sebagai letusan rekahan, yang biasanya tidak mengakibatkan letupan besar atau sejumlah besar abu di stratosfera, kata kerajaan Iceland dalam satu kenyataan lewat semalam.
Penerbangan masuk dan keluar dari Iceland bagaimanapun tidak terganggu.