Korea Utara pada Rabu menguji peluru berpandu balistik antara benua Hwasongpho-18 terbaharunya yang merupakan sistem senjata teras pasukan strategik negara itu, lapor Xinhua pada Khamis.
Peluru berpandu itu bergerak sehingga ketinggian maksimum 6,648.4 kilometer (km) dan terbang sejauh 1,001.2 km selama 4,491 saat sebelum mendarat dengan tepat di kawasan yang ditetapkan di perairan timur Semenanjung Korea.
Ujian tembakan itu dilakukan dengan menetapkan peringkat pertama sebagai mod penerbangan balistik standard dan peringkat kedua dan ketiga sebagai mod penerbangan sudut tinggi.
Ia membuktikan keupayaan, kebolehpercayaan dan kegunaan ketenteraan Hwasongpho-18 dan mengesahkan kebolehpercayaan kuasa strategik nuklear DPRK.
Unit nuklear negara itu tidak lama lagi akan dilengkapi sistem senjata strategik baharu di bawah rancangan jangka panjang untuk membangunkan tenaga nuklear negara itu.
Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berkata berdasarkan situasi semasa di Semenanjung Korea, Korea Utara perlu meningkatkan penghalang perang nuklearnya dan negara itu akan terus mempercepat pembangunan sistem senjata yang lebih maju, berkesan dan boleh dipercayai.