- Iklan -
Luar Sana

Prabowo dahului tinjauan menjelang pilihan raya presiden 2024

Ini adalah tinjauan pendapat ketiga sejak Mei yang menunjukkan bekas jeneral itu muncul sebagai pendahulu, dengan tinjauan terbaru menunjukkan beliau mendapat sokongan padu dalam kalangan Gen Z, Milenium dan Baby Boomers.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto bercakap semasa sidang akhbar bersama di Jakarta, Indonesia, 21 November 2022. Gambar: Reuters
Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto bercakap semasa sidang akhbar bersama di Jakarta, Indonesia, 21 November 2022. Gambar: Reuters

Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto kekal mendahului menjelang pilihan raya presiden 2024, dengan tinjauan pendapat pada Ahad menunjukkan sokongan terhadap bekas komander pasukan khas itu amat kuat dalam kalangan pengundi muda. 

Tinjauan The Indikator, yang memfokuskan untuk menyuarakan pandangan pengundi muda, menunjukkan Prabowo mempunyai kelebihan tipis dan besar berdasarkan pelbagai senario. 

Dijalankan antara 20 dan 24 Jun, tinjauan itu meninjau 1,220 orang di seluruh negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu, dengan lebih 60% responden berumur bawah 42 tahun. 

Kira-kira 107 juta, atau lebih separuh daripada pengundi berdaftar untuk pemilihan pada Februari 2024, adalah berumur bawah 40 tahun, menurut data pilihan raya. 

Dalam pertembungan antara tiga calon presiden teratas, tinjauan menunjukkan Prabowo meraih 36.8%, mendahului Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo dengan 35.7% dan bekas gabenor Jakarta Anies Baswedan memperoleh 21.5%. 

Tinjauan tersebut mempunyai margin ralat sebanyak 2.9 mata peratusan. Dalam persaingan satu lawan satu, Prabowo mendahului Ganjar, sebanyak 49.5% hingga 40.9%.

Ini adalah tinjauan pendapat ketiga sejak Mei yang menunjukkan bekas jeneral itu muncul sebagai pendahulu, dengan tinjauan terbaru menunjukkan beliau mendapat sokongan padu dalam kalangan Gen Z, Milenium dan Baby Boomers. 

Prabowo, bekas jeneral kontroversi yang dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia yang acap kali dinafikannya, kalah dalam pilihan raya presiden berturut-turut pada 2014 dan 2019. 

Mendapat legitimasi sebagai menteri pertahanan dan memulakan kempen penjenamaan semula termasuk mendekati golongan muda melalui kehadiran media sosial yang canggih, Prabowo kini mendapat momentum.

Penganalisis berkata, sokongan tersirat Presiden Joko Widodo, yang mendapat penilaian melebihi 80%, juga telah membantu meningkatkan popularitinya. 

Joko Widodo yang lebuh dikenali sebagai Jokowi, dipilih pada 2014 dan sedang memegang tampuk kepimpinan untuk penggal kedua dan terakhirnya. 

Presiden, yang merupakan ahli Parti Demokratik Perjuangan, secara rasmi mencalonkan Ganjar sebagai calonnya, baru-baru ini sering muncul bersama Prabowo dalam acara awam.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.