- Iklan -
Luar Sana

51 ikan paus mati selepas terdampar di Australia

Paus terkenal dengan ikatan sosial mereka yang kuat, jadi apabila seekor paus mengalami kesukaran dan terdampar, maka selebihnya biasanya akan mengikutinya, kata pakar.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Tangkap layar dalam video di media sosial menunjukkan ikan paus yang terdampar di Pantai Cheynes, Australia pada 25 Julai. Gambar: Reuters
Tangkap layar dalam video di media sosial menunjukkan ikan paus yang terdampar di Pantai Cheynes, Australia pada 25 Julai. Gambar: Reuters

Lebih 50 ekor ikan paus mati selepas terdampar di pantai terpencil di barat Australia, kata pihak berkuasa hari ini, manakala pasukan penyelamat cuba membawa semula selebihnya ke kawasan perairan.

Pakar marin dan sukarelawan berkhemah semalaman di Pantai Cheynes, lebih 450km tenggara Perth di Australia Barat, selepas ikan paus ditemui dihanyutkan berhampiran pantai. 

"Malangnya, 51 ekor ikan paus mati semalaman selepas terdampar secara besar-besaran," kata Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar Australia Barat dalam satu kenyataan. 

"(Kami) bekerjasama dengan sukarelawan berdaftar dan organisasi lain untuk cuba membawa semula baki 46 ikan paus ke perairan yang lebih dalam sepanjang hari."

Menurut pakar marin, Ikan paus terkenal dengan ikatan sosial mereka yang kuat, jadi apabila seekor paus mengalami kesukaran dan terdampar, maka selebihnya biasanya akan mengikutinya. 

Australia dan negara jiran New Zealand menjadi tumpuan sebagai lokasi ikan paus terdampar kerana koloni besar paus ini yang tinggal di lautan dalam mengelilingi kedua-dua negara pulau, tetapi punca mengapa mereka terperangkap di pantai masih menjadi misteri.