- Iklan -
Luar Sana

Nato tingkatkan pengawasan di Laut Hitam, kecam Rusia tarik diri perjanjian eksport bijirin

Perjanjian yang membenarkan pengeksportan selamat bijirin Ukraine di Laut Hitam untuk tahun lalu tamat pada 17 Julai selepas Rusia menarik diri, dalam satu langkah yang dikatakan PBB akan ‘memberi tamparan kepada orang yang memerlukannya’.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
TK Majestic berbendera Saint-Kitts-and-Nevis, yang membawa bijirin di bawah Inisiatif Bijian Laut Hitam PBB, menunggu di pelabuhan selatan Bosphorus di Istanbul, Turkiye 15 Julai. Gambar: Reuters
TK Majestic berbendera Saint-Kitts-and-Nevis, yang membawa bijirin di bawah Inisiatif Bijian Laut Hitam PBB, menunggu di pelabuhan selatan Bosphorus di Istanbul, Turkiye 15 Julai. Gambar: Reuters

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) berkata pakatan itu meningkatkan pengawasan di wilayah Laut Hitam selepas mengecam tindakan Rusia melanggar perjanjian bagi memastikan laluan kapal membawa bijirin Ukraine selamat.

Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat Majlis Nato-Ukraine, sebuah badan yang ditubuhkan awal bulan ini untuk menyelaraskan kerjasama antara pakatan tentera Barat dan Kyiv. 

"Sekutu dan Ukraine mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Rusia untuk menarik diri daripada perjanjian bijirin Laut Hitam dan cubaan yang disengajakannya untuk menyekat eksport pertanian Ukraine yang menjadi sumber makanan kepada ratusan penduduk di seluruh dunia,” kata Nato dalam satu kenyataan.

“Nato dan sekutunya meningkatkan pengawasan dan tinjauan di Laut Hitam, termasuk menggunakan pesawat peronda maritim dan dron,” kata kenyataan itu.

Perjanjian yang telah membenarkan pengeksportan selamat bijirin Ukraine di Laut Hitam untuk tahun lalu tamat pada 17 Julai selepas Rusia menarik diri, dalam satu langkah yang dikatakan PBB akan "memberi tamparan kepada orang yang memerlukannya." 

Moscow mencadangkan ia akan mempertimbangkan untuk menghidupkan semula perjanjian itu jika permintaan untuk meningkatkan eksport bijirin dan bajanya sendiri dipenuhi. 

Kenyataan Nato mengkritik amaran Rusia bahawa bahagian perairan antarabangsa Laut Hitam tidak selamat buat sementara waktu untuk pelayaran. 

Sebagai sebahagian daripada amaran itu, Rusia juga mengisytiharkan bahawa mana-mana kapal yang melakukan perjalanan ke pelabuhan Laut Hitam Ukraine akan dilihat sebagai mungkin membawa kargo tentera.

“Sekutu menyatakan bahawa kawasan amaran baharu Rusia di Laut Hitam, dalam zon ekonomi eksklusif Bulgaria, telah mewujudkan risiko baharu untuk salah pengiraan dan peningkatan, serta halangan serius terhadap kebebasan pelayaran,” menurut kenyataan Nato. 

Bulgaria adalah ahli Nato. 

Nato juga berkata ia mengutuk serangan Rusia baru-baru ini ke atas Odesa, Mykolaiv dan bandar pelabuhan lain, termasuk serangan dron ke atas kemudahan penyimpanan bijirin Ukraine di bandar pelabuhan Danube Reni, berhampiran sempadan Romania yang juga anggota Nato. 

"Kami tetap bersedia untuk mempertahankan setiap inci wilayah sekutu daripada sebarang pencerobohan," kata Setiausaha Agung Nato Jens Stoltenberg.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.