Iran mengumumkan hari Rabu dan Khamis minggu ini sebagai cuti umum susulan "cuaca panas melampau yang belum pernah berlaku sebelum ini" dan mengarahkan warga emas dan orang yang mempunyai masalah kesihatan untuk tinggal di rumah, lapor media Iran.
Banyak bandar di selatan Iran telah pun mengalami cuaca panas luar biasa.
Media kerajaan melaporkan suhu minggu ini melebihi 51 darjah Celsius di bandar Ahvaz di selatan negara itu.
Jurucakap kerajaan Ali Bahadori-Jahromi dipetik media kerajaan sebagai berkata Rabu dan Khamis adalah cuti, manakala kementerian kesihatan berkata hospital akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Tehran dijangka merekodkan suhu 39 C pada hari ini.
Gelombang haba telah menjejaskan sebahagian besar dunia dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Para saintis mengaitkannya dengan perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia.