- Iklan -
Berita

EU mula siasat cubaan elak duti import ke atas produk biodiesel dari Indonesia

Hubungan dagangan antara EU dan Indonesia tegang akibat tindakan blok itu mengehadkan import komoditi itu yang dikaitkan dengan penebangan hutan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa lori dilihat berhampiran ladang kelapa sawit di sebuah perkampungan yang terletak berhampiran ibu kota baru Indonesia, dikenali sebagai Ibu Negara Nusantara, di Sepaku, wilayah Kalimantan Timur, Indonesia, 8 Mac. Gambar: Reuters
Beberapa lori dilihat berhampiran ladang kelapa sawit di sebuah perkampungan yang terletak berhampiran ibu kota baru Indonesia, dikenali sebagai Ibu Negara Nusantara, di Sepaku, wilayah Kalimantan Timur, Indonesia, 8 Mac. Gambar: Reuters

Kesatuan Eropah (EU) semalam mengumumkan bahawa badan itu telah melancarkan siasatan terhadap cubaan mengelakkan duti import kesatuan itu ke atas produk biodiesel dari Indonesia melalui China dan Britain.

EU ialah destinasi ketiga terbesar Indonesia untuk produk minyak sawit dan pasaran penting untuk biodiesel republik itu, yang diperbuat daripada minyak sawit. 

Indonesia adalah pengeluar minyak sawit terbesar di dunia. 

Siasatan EU adalah berdasarkan permintaan awal daripada Lembaga Biodiesel Eropah, sebuah persatuan pengeluar Eropah. 

"Permintaan itu mengandungi bukti yang mencukupi bahawa langkah-langkah pengimbang yang sedia ada ke atas import produk berkenaan sedang dielakkan oleh import produk yang sedang disiasat," kata Suruhanjaya Eropah dalam jurnal rasmi EU. 

"Perubahan dalam corak perdagangan yang melibatkan eksport dari Indonesia dan Republik Rakyat China dan UK ke kesatuan itu telah berlaku berikutan pengenaan langkah pengimbang yang sedia ada," katanya.

Reuters cuba mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Perdagangan Indonesia namun tidak berjaya.

Awal minggu ini, Indonesia meminta rundingan pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dengan EU berhubung pengenaan duti EU ke atas import biodiesel dari Indonesia. 

Ditanya mengenai situasi ini, jurucakap Suruhanjaya Eropah memberitahu pemberita bahawa EU yakin cukainya ke atas Indonesia mematuhi sepenuhnya peraturan WTO dan EU bersedia untuk membincangkan perkara itu dengan Indonesia. 

Hubungan perdagangan antara EU dan Indonesia tegang berikutan langkah blok itu untuk mengehadkan import komoditi yang dikaitkan dengan penebangan hutan, yang dijangka menyekat import minyak sawit ke EU daripada pembekal utama Indonesia dan Malaysia.

Selain biodiesel, minyak sawit digunakan secara meluas dalam makanan dan kosmetik. 

Mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Eropah, Lembaga Biodiesel Eropah berkata ia menganggarkan tindakan mengelak duti import tersebut mungkin menyebabkan EU mengalami kerugian kira-kira €221 juta (RM1.11 bilion) tahun lepas. 

Persatuan itu juga bekerjasama dengan pihak berkuasa EU untuk menangani dakwaan penipuan import biodiesel dari China, katanya dalam satu kenyataan. 

Jerman awal tahun ini meminta Suruhanjaya Eropah untuk menyiasat penghantaran dari China di tengah-tengah kebimbangan industri bahawa import biodiesel yang diisytiharkan sebagai berasaskan bahan mentah kitar semula mungkin mengandungi minyak yang lebih murah.