- Iklan -
Luar Sana

Kepulangan Thaksin tiada kena mengena dengan politik, kata anak

Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra yang berusia 74 tahun dijangka pulang ke Thailand esok.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra berucap sewaktu temu bual di Tokyo pada 23 Ogos 2011. Gambar: Reuters
Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra berucap sewaktu temu bual di Tokyo pada 23 Ogos 2011. Gambar: Reuters

Kepulangan bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra ke negara itu tidak bermotifkan politik, kata anak perempuannya Paetongtarn Shinawatra.

Thaksin yang berusia 74 tahun dijangka pulang ke Thailand esok, pada masa yang sama sidang Parlimen dijadualkan mengadakan undian melantik perdana menteri baharu bagi menamatkan kebuntuan politik.

Paetongtarn yang juga seorang daripada tiga calon perdana menteri Parti Pheu Thai berkata keputusan Thaksin untuk kembali adalah demi menjaga cucunya selepas meninggalkan negara itu selama lebih 15 tahun.

“Kepulangan ayah tiada kaitan dengan politik.

“Ayah akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang dengan menaiki jet peribadi pada 9 pagi (waktu tempatan) dan keluarga menantikan dan menyambut kepulangannya. Mungkin beliau perlu terus pergi ke mahkamah," katanya.

Ketika ditanya sama ada Thaksin telah memohon pengampunan diraja, Paetongtarn berkata "belum lagi".

Thaksin, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2001 hingga 2006, hidup dalam buangan sejak 2008 dan menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai selepas kerajaannya digulingkan dalam rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin.

Thaksin melarikan diri dari Thailand pada Ogos 2008 untuk mengelak daripada berdepan hukuman penjara kerana beberapa kes jenayah.

Beliau mungkin masih akan dipenjarakan selama lebih dari satu dekad jika beliau kembali ke Thailand.

Timbalan Perdana Menteri sementara dan Menteri Kehakiman Wissanu Krea-ngam berkata Thaksin akan dilayan seperti banduan lain apabila mendarat di tanah air.

“Pegawai akan bertemu bekas perdana menteri di Lapangan Terbang Don Mueang dan mengiringinya ke Jabatan Penjara. Thaksin akan ditahan di Penjara Pusat Klong Prem,” kata Wisannu, dipetik oleh akhbar the Nation.

Wissanu berkata Thaksin layak memohon pengampunan diraja, tetapi permohonan itu mesti dikemukakan sendiri atau ahli keluarganya. Jika permohonannya ditolak, beliau perlu menunggu dua tahun sebelum memohon semula.

Sementara itu, ketua pengarah Jabatan Penjara, Aryut Sinthoppan berkata Thaksin akan diberi pemantauan keselamatan tambahan dan kemudahan mencukupi semasa ditahan di Penjara Reman Bangkok kerana beliau lebih berisiko berbanding banduan lain.

“Bagaimanapun, Thaksin perlu disediakan kemudahan yang sesuai, tetapi tidak sampai ke tahap yang boleh dilihat sebagai hak istimewa,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.