- Iklan -
Luar Sana

Bekas PM Thailand Thaksin pulang ke tanah air selepas 15 tahun hidup dalam buangan

Thaksin melarikan diri ke luar negara pada 2008 untuk mengelakkan hukuman penjara kerana salah guna kuasa, dua tahun selepas tentera menggulingkannya dengan dakwaan rasuah dan ketidaksetiaan kepada raja, yang dinafikannya sekeras-kerasnya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra, yang dijangka ditangkap sekembalinya ke tanah air selepas hidup dalam buangan hampir dua dekad, melambai di lapangan terbang Don Mueang di Bangkok, Thailand 22 Ogos. Gambar: Reuters
Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra, yang dijangka ditangkap sekembalinya ke tanah air selepas hidup dalam buangan hampir dua dekad, melambai di lapangan terbang Don Mueang di Bangkok, Thailand 22 Ogos. Gambar: Reuters

Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra tiba di Thailand pada Selasa selepas 15 tahun hidup dalam buangan, hari yang sama sidang Parlimen mengundi perdana menteri baharu.

Thaksin,74 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang pada 9 pagi (waktu tempatan) dengan menaiki pesawat persendirian yang berlepas dari Lapangan Terbang Seletar Singapura.

Diiringi anak lelaki dan anak perempuannya termasuk Paetongtarn, yang merupakan seorang daripada tiga calon perdana menteri Parti Pheu Thai, beliau meletakkan jambangan bunga di hadapan gambar Raja Maha Vajiralongkorn di luar bangunan terminal.

Thaksin sempat melambai ahli keluarga, penyokong dan media yang berkumpul di luar bangunan terminal sebelum masuk ke dalam bangunan itu semula.

Thaksin dijangka ditahan polis dan dibawa ke Mahkamah Agung untuk perbicaraan lewat hari ini.

Terdahulu, penyokong Thaksin berbaju merah berkumpul di luar terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang bagi mengalu-alukan kepulangannya sambil memegang sepanduk.

Penyokongnya telah berkhemah di luar terminal sejak Isnin.

Selain itu, tokoh utama dan Ahli Parlimen Parti Pheu Thai turut berada di terminal bagi menyambut ketibaan Thaksin.

Terdahulu, bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra berkongsi hantaran dan video di Facebooknya yang memaparkan Thaksin diiringi menaiki pesawat

“Akhirnya, hari yang anda (Thaksin) nantikan telah tiba.

"Saya ucapkan selamat maju jaya dalam perjalanan pulang. Harap kekal sihat, abang," menurut hantaran di Facebooknya.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Kehakiman Sorawis Limparangsi berkata, Mahkamah Agung akan mengeluarkan kenyataan berhubung kes itu termasuk butiran pertimbangan mahkamah terhadap kes berkenaan.

Thaksin, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2001 hingga 2006, telah hidup dalam buangan sejak 2008 dan menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai selepas kerajaannya digulingkan dalam rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin.