- Iklan -
Luar Sana

Taikun hartanah Srettha dipilih sebagai PM baru Thailand

Pemilihan itu, sekali gus menamatkan kemelut politik yang mencengkam negara ini sejak tiga bulan lalu dan membuka laluan kepada pembentukan kerajaan campuran baru.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Srettha Thavisin dari Pheu Thai ketika menghadiri sidang media, selepas majoriti ahli Parlimen Thailand menyokongnya untuk dipilih sebagai perdana menteri, di Bangkok, Thailand 22 Ogos. Gambar: Reuters
Srettha Thavisin dari Pheu Thai ketika menghadiri sidang media, selepas majoriti ahli Parlimen Thailand menyokongnya untuk dipilih sebagai perdana menteri, di Bangkok, Thailand 22 Ogos. Gambar: Reuters

Taikun hartanah Srettha Thavisin dipilih sebagai perdana menteri baru Thailand, buat kali pertama jawatan itu disandang oleh rakyat biasa dalam tempoh lebih sembilan tahun.

Pemilihan itu, sekali gus menamatkan kemelut politik yang mencengkam negara ini sejak tiga bulan lalu dan membuka laluan kepada pembentukan kerajaan campuran baru.

Srettha ialah calon perdana menteri tunggal dari Parti Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Shinawatra kembali ke Thailand selepas 15 tahun hidup dalam buangan dan pada Selasa mula menjalani hukuman penjara lapan tahun yang dikenakan ke atasnya.

Srettha, 60, yang merupakan muka baru dalam arena politik itu menerima 482 undi, manakala 165 tidak bersetuju dan 81 lagi berkecuali.

Beliau melepasi jumlah 375 undi yang diperlukan untuk menjadi perdana menteri yang membolehkannya membentuk kerajaan. 

Srettha disokong oleh gabungan 11 parti yang diketuai oleh Pheu Thai, termasuk dua pesaing yang menerima sokongan tentera: Parti Palang Pracharath (PPRP) dan United Thai Nation (UTN). Gabungan itu mempunyai 314 kerusi daripada keseluruhan 500 kerusi Dewan Rakyat.

Proses pengundian bermula pada 3.24 petang (waktu tempatan) dan berakhir 5.39 petang (waktu tempatan).

Seramai 705 ahli dewan hadir hari ini dan mereka wajib mengisytiharkan secara terbuka sama ada "bersetuju", "tidak bersetuju" atau "berkecuali".

Memiliki ketinggian 1.92 meter (6 kaki, 3 inci), Srettha merupakan pemegang ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan awam dari Universiti Chulalongkorn dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Claremont Graduate School di Amerika Syarikat.

Beliau menyertai Pheu Thai pada tahun ini dan dilantik sebagai ketua penasihat kepada "Keluarga Phue Thai" yang diketuai oleh anak perempuan Thaksin Shinawatra, Paetongtarn, pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 Mei.

Srettha juga pernah menjadi presiden dan ketua pegawai eksekutif di Sansiri Plc, satu daripada pemaju hartanah terbesar Thailand, sebelum meletak jawatan pada April tahun ini.

Sementara itu, Srettha berkata beliau amat berbesar hati kerana dipilih sebagai Perdana Menteri ke-30  Thailand.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Thailand, parti gabungan, Dewan Rakyat dan Senator yang mengundi saya hari ini.

“Saya akan berusaha melakukan yang terbaik untuk meningkatkan kesejahteraan semua rakyat Thailand,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.