- Iklan -
Luar Sana

AS saman SpaceX, dakwa diskriminasi pencari suaka, pelarian dalam pengambilan pekerja

Saman itu juga menuntut penalti sivil dalam jumlah yang akan ditentukan oleh mahkamah dan perubahan dasar bagi memastikan SpaceX mematuhi mandat tanpa diskriminasi persekutuan pada masa hadapan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Axiom Mission 2 (Ax-2) menaiki kapsul SpaceX Falcon 9 dan Dragon, membawa 4 anak kapal ke Stesen Angkasa Antarabangsa, berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy, Florida, AS, 21 Mei. Gambar: Reuters
Axiom Mission 2 (Ax-2) menaiki kapsul SpaceX Falcon 9 dan Dragon, membawa 4 anak kapal ke Stesen Angkasa Antarabangsa, berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy, Florida, AS, 21 Mei. Gambar: Reuters

SpaceX milik Elon Musk mendiskriminasi pencari suaka dan pelarian dengan menghalang mereka daripada memohon pekerjaan dan enggan mempertimbangkan atau mengupah mereka kerana status kewarganegaraan mereka, dakwa Jabatan Kehakiman dalam tuntutan mahkamah yang difailkan pada Khamis , lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam satu siasatan, jabatan itu mendapati bahawa tindakan yang diambil oleh perekrut syarikat dan "pegawai peringkat tinggi" untuk menghalang pencari suaka dan pelarian daripada bekerja di syarikat aeroangkasa itu di Hawthorne, California, bersamaan larangan de facto terhadap pengambilan pekerja mereka, yang melanggar undang-undang persekutuan.

Sebagai contoh, saman itu berkata, Musk menulis ciapan pada Jun 2020 kepada 36 juta pengikutnya ketika itu: "Undang-undang AS memerlukan sekurang-kurangnya pemilik kad penduduk tetap (green card) untuk diupah di SpaceX, kerana roket dianggap sebagai teknologi senjata canggih."

Menurut saman tersebut, SpaceX telah terlibat dalam tingkah laku tersebut sekurang-kurangnya dari September 2018 hingga Mei 2022.

Saman tersebut menyatakan SpaceX telah mengambil kerja seorang pencari suaka berbanding lebih daripada 10,000 pekerjaan yang diisi di seluruh syarikat pada tempoh itu, tetapi pengambilan itu dilakukan empat bulan selepas SpaceX diberitahu mengenai penyiasatan jabatan tersebut.

Syarikat itu tidak memberi maklum balas ketika ditanya mengenai perkara berkenaan.

SpaceX secara salah berkata dalam siaran pekerjaan dan kenyataan awam bahawa ia hanya boleh menggajikan warga AS dan penduduk tetap yang sah, memetik peraturan persekutuan dan undang-undang kawalan eksport, menurut jabatan itu.

Rekod pengambilan pekerja syarikat itu sendiri menunjukkan SpaceX "berulang kali" menolak permohonan pencari suaka atau pelarian "kerana percaya bahawa mereka tidak layak untuk diambil kerja kerana peraturan itu, kata tuntutan mahkamah.

Syarikat aeroangkasa dan pertahanan, seperti SpaceX, tertakluk kepada undang-undang kawalan eksport, termasuk Peraturan Trafik Antarabangsa dalam Senjata atau ITAR yang mengawal pembuatan dan eksport produk berkaitan pertahanan, seperti roket.

Tetapi pencari suaka dan pelarian berada pada kedudukan yang sama dengan warga AS dan penduduk tetap yang sah di bawah undang-undang kawalan eksport tersebut, kata jabatan itu.

Saman jabatan itu juga menuntut SpaceX menghentikan amalan pengambilan pekerja ini, membayar denda sivil yang belum ditentukan dan mengambil kerja pemohon yang terkesan oleh amalan pengambilan pekerja dan layak untuk diambil kerja di syarikat itu.