- Iklan -
Luar Sana

Gambar Trump di penjara Georgia tersebar

Wajah Trump yang dilihat tidak tersenyum – banduan bernombor P01135809, menurut rekod Penjara Fulton County – telah dirakam menjeling ke arah kamera ketika gambarnya diambil.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas presiden AS Donald Trump dalam gambar penjara yang dikeluarkan oleh Pejabat Sheriff Fulton County di Atlanta, Georgia, 24 Ogos. Gambar: Reuters
Bekas presiden AS Donald Trump dalam gambar penjara yang dikeluarkan oleh Pejabat Sheriff Fulton County di Atlanta, Georgia, 24 Ogos. Gambar: Reuters

Gambar Donald Trump mula tersebar pada petang Khamis sebaik dibawa masuk ke penjara Atlanta selepas didakwa atas puluhan pertuduhan jenayah yang dihadapinya berpunca daripada cubaan bekas presiden Amerika Syarikat (AS) itu untuk menafikan kekalahannya pada Pilihan Raya 2020 di Georgia.

Wajah Trump yang dilihat tidak tersenyum – banduan bernombor P01135809, menurut rekod Penjara Fulton County – telah dirakam menjeling ke arah kamera ketika gambarnya diambil.

Imej itu mewakili satu lagi detik bersejarah untuk Trump, yang tidak perlu menyerahkan gambar ketika membuat penampilan dalam tiga kes jenayahnya yang lain. 

Dia mengambil sedikit masa cuba mengubah suainya dan memuat naik di Twitter, serta laman media sosialnya sendiri, Truth Social. 

Laman sesawang kempennya memaparkan gambar itu bersama mesej daripada Trump yang mempertahankan tindakannya dan meminta derma. 

Ciapan di Twitter berkenaan nampaknya yang pertama dibuat Trump di laman media sosial itu sejak akaunnya disekat selepas sekumpulan penyokongnya menyerbu Capitol AS pada 6 Januari 2021. 

Pemilik Twitter, Elon Musk telah memulihkan akaun Trump lewat tahun lalu.

Trump hanya menghabiskan masa kira-kira 20 minit di penjara sebelum kembali ke kelab golfnya di New Jersey. 

Sebelum menaiki pesawat peribadinya di lapangan terbang Hartsfield-Jackson di Atlanta, dia mengulangi dakwaannya bahawa pendakwaan ini – bersama tuduhan lain yang dihadapinya – adalah bermotifkan politik. 

"Apa yang berlaku di sini adalah fitnah keadilan," katanya kepada pemberita. 

"Saya tidak melakukan kesalahan, dan semua orang tahu." 

Trump, 77, telah pun memasuki “wilayah yang belum dipetakan” ketika menjadi bekas presiden AS pertama berdepan tuduhan jenayah, walaupun ketika ini dia sedang melancarkan kempen lain menjelang pilihan raya presiden tahun depan.

Jauh daripada merosakkan pencalonannya untuk Republikan, bagaimanapun, empat kes yang difailkan terhadapnya hanya mengukuhkan kedudukannya. 

Beliau mendahului pengundian untuk mencabar Presiden Demokrat Joe Biden pada pilihan raya pada November 2024.

Berpuluh-puluh penyokong, mengibarkan sepanduk Trump dan bendera AS, bersesak untuk melihat Trump tiba di penjara. 

Antara penyokong Trump yang berkumpul di luar ialah wakil Georgia Marjorie Taylor Greene, salah seorang sekutu kongres bekas presiden yang paling setia. 

Lyle Rayworth, 49, yang berada dalam industri penerbangan di kawasan Atlanta, menunggu berhampiran penjara selama 10 jam, sejak pagi Khamis. 

"Ya, saya berharap dia melihat saya mengibarkan bendera, menunjukkan sokongan," kata Rayworth sambil menunggu ketibaan Trump. 

"Dia perlukan kita." 

Imej itu pasti akan diedarkan secara meluas oleh musuh dan penyokong Trump.