- Iklan -
Luar Sana

Bekas PM Thailand Thaksin sediakan draf pengampunan diraja, kata peguam

Tarikh bila ia akan dikemukakan adalah terpulang kepada Thaksin Shinawatra sendiri, kata peguamnya.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra. Gambar: Reuters
Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra. Gambar: Reuters

Bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sedang menyediakan draf dokumentasi untuk permohonan pengampunan diraja, kata peguamnya hari ini.

Bagaimanapun, tarikh bila ia akan dikemukakan adalah terpulang kepadanya.

Thaksin pulang ke Thailand minggu lalu selepas 15 tahun hidup dalam buangan di luar negara. 

Selepas mendarat dengan jet peribadi, dia dihumban ke penjara bagi menjalani hukuman selama lapan tahun atas tuduhan salah guna kuasa dan konflik kepentingan ketika berkuasa. 

Beberapa jam selepas kepulangannya, Srettha Thavisin dari parti Pheu Thai yang disokong keluarga Shinawatra memenangi undian di Parlimen untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Ini sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa Thaksin mencapai kata sepakat dengan bekas musuhnya di kalangan pihak konservatif tentera dan institusi diraja negara itu yang menggulingkan kerajaannya pada 2006 dan 2014. 

Thaksin dan parti Pheu Thai bagaimanapun menafikan perkara tersebut. Thaksin

Pada malam pertamanya di Thailand, dia telah dipindahkan ke hospital polis selepas mengadu sakit dada dan mengalami tekanan darah tinggi.

Pada Rabu peguamnya Wiyat Chartmontri memberitahu Reuters bahawa bekas perdana menteri itu sedang menyediakan permohonan untuk pengampunan diraja. 

"Thaksin memohon sendiri dan kini dalam peringkat persediaan dokumentasi dan merangka permohonan bagi pengampunan itu," kata Wiyat, sambil menambah pasukan perundangan masih belum melihat draf permohonan itu.

Malah, bila permohonan itu akan dikemukakan adalah terpulang Thaksin sendiri, kata Winyat. 

Walaupun berada di luar selama 15 tahun, namun Thaksin masih diingati dalam politik Thai, yang terkenal dengan dasar populis seperti penjagaan kesihatan sejagat dan pemberian wang tunai. 

Parti yang setia kepadanya memenangi setiap pilihan raya dalam tempoh 20 tahun yang lalu sehingga 2023. 

Kumpulan anti-Thaksin membuat petisyen kepada Jabatan Penjara untuk menyekat sebarang cubaan untuk mendapatkan pengampunan, atas alasan bahawa kes rasuah tidak sepatutnya mendapat pengampunan.