- Iklan -
Luar Sana

New York benarkan laungan azan pada Jumaat, Ramadan

Masjid dan rumah ibadat di banda raya itu bebas untuk mengumandangkan azan pada hari Jumaat dan pada bulan Ramadan tanpa perlu memohon kebenaran.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan One World Trade Center tersergam di tengah-tengah Manhattan di New York, AS, 26 Julai. Gambar: Reuters
Bangunan One World Trade Center tersergam di tengah-tengah Manhattan di New York, AS, 26 Julai. Gambar: Reuters

Datuk Bandar New York City Eric Adams mengumumkan bandar raya itu akan membenarkan laungan azan pada waktu yang ditetapkan setiap hari Jumaat dan sepanjang Ramadan.

"Sudah terlalu lama wujud kekeliruan mengenai komuniti mana yang tidak dibenarkan untuk melaungkan azan mereka.

“Hari ini, kami mengetepikan kerenah birokrasi dan menyatakan dengan jelas bahawa masjid dan rumah ibadat bebas untuk mengumandangkan azan pada hari Jumaat dan pada bulan Ramadan tanpa perlu memohon kebenaran,” lapor Agensi Anadolu memetik sidang akhbar Adams pada Selasa.

Pada sidang akhbar yang dihadiri oleh wakil dari pelbagai persatuan masjid dan yayasan Islam itu, Adams berkata: "Anda bebas mengamalkan kepercayaan anda di New York City kerana di bawah undang-undang kita semua berhak mendapat layanan yang sama. Pentadbiran kami amat berbangga dengan mencapai persetujuan ini".

Mengikut peraturan baharu itu, masjid boleh menyiarkan laungan azan setiap Jumaat antara 12.30 tengah hari dan 1.30 tengah hari, serta sebelum berbuka puasa, setiap petang pada Ramadan.

Pemimpin masyarakat Islam berterima kasih kepada Datuk Bandar dan pegawai lain yang terlibat.

Selepas mesyuarat berakhir, azan dilaungkan dari podium, disertai penjelasannya dalam bahasa Inggeris, katanya.