- Iklan -
Luar Sana

PBB potong bantuan makanan 2 juta rakyat Afghanistan akibat kekangan pembiayaan

Ini bermaksud 1.4 juta ibu yang baharu melahirkan dan hamil serta anak-anak mereka tidak lagi menerima makanan khas yang direka untuk mencegah malnutrisi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang penjaja Afghanistan berdiri di sebatang jalan di Kabul, Afghanistan, 3 September. Gambar: Reuters
Seorang penjaja Afghanistan berdiri di sebatang jalan di Kabul, Afghanistan, 3 September. Gambar: Reuters

Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memotong bantuan makanan kepada dua juta penduduk Afghanistan akibat kekurangan dana yang besar, menurut organisasi itu menerusi satu kenyataan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

 Ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang terputus bantuan sokongan WFP pada tahun ini mencecah 10 juta.

"Dengan sumber yang sedikit yang kita miliki, kita tidak dapat memenuhi semua orang yang berada di ambang kemiskinan total," kata Hsiao-Wei Lee, pengarah WFP di Afghanistan.

Potongan ini bermaksud 1.4 juta ibu yang baharu melahirkan dan hamil serta anak-anak mereka tidak lagi menerima makanan khas yang direka untuk mencegah malnutrisi, menurut agensi itu.

"Untuk enam bulan yang akan datang, WFP memerlukan US$1 bilion untuk memenuhi keperluan 21 juta orang dengan bantuan makanan, pemakanan, dan sokongan mata pencarian," tambah kenyataan itu.

Afghanistan sedang menghadapi kesan konflik selama 40 tahun, ekonomi yang terjejas, dan kesan krisis iklim.

WFP menggesa negara penderma untuk memberi keutamaan kepada pembiayaan operasi kemanusiaan di Perhimpunan Agung PBB tahunan yang akan datang di New York.