- Iklan -
Luar Sana

PM baru Thailand dikritik di Parlimen selepas bentang agenda ‘tiada hala tuju’

Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin, yang juga menteri kewangan, berkata polisi utamanya – pemberian AS$282.09 (kira-kira RM1300) melalui dompet digital kepada semua warga Thailand berumur 16 tahun ke atas – akan ‘membangunkan semula’ ekonomi.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin membentangkan dasar Majlis Menteri kepada Parlimen, di Bangkok, Thailand, 11 September. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin membentangkan dasar Majlis Menteri kepada Parlimen, di Bangkok, Thailand, 11 September. Gambar: Reuters

Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin mendapat kecaman di Parlimen hari ini berhubung agenda dasar kerajaan baharunya yang disifatkan ahli Parlimen pembangkang sebagai kabur dan menyimpang daripada janji pilihan raya parti itu.

Taikun hartanah Srettha telah dilantik sebagai perdana menteri dalam undian di Parlimen bulan lalu selepas parti populisnya Pheu Thai, yang menduduki tempat kedua dalam pilihan raya umum pada Mei, bersetuju untuk mengetuai kerajaan campuran yang merangkumi parti disokong oleh pesaing utamanya, tentera. 

Srettha mengesahkan agendanya di parlimen hari ini yang termasuk pemberian tunai digital, menurunkan harga tenaga dan melonggarkan peraturan visa untuk meningkatkan jumlah kehadiran pelancong asing. 

Namun Move Forward, parti pembangkang progresif yang memenangi pilihan raya tetapi disekat oleh penggubal undang-undang yang disokong tentera daripada membentuk kerajaan, berkata rancangan Pheu Thai itu kurang spesifik.

"Ini tiada hala tuju. Tiada matlamat yang jelas, tiada jangka masa dan belanjawan," kata ahli Parlimen Move Forward Sirikanya Tansakul, semasa perbahasan yang dijadualkan berakhir lewat Selasa.

"Pernyataan dasar itu perlu mempunyai butiran... ia tidak sepatutnya hanya sekadar ‘wish-list’."

Pentadbiran baru meramalkan bahawa ekonomi dijangka berkembang sebanyak 2.8% tahun ini, lebih rendah berbanding ramalan sebelum ini iaitu sebanyak 3.6%. 

Srettha, yang juga menteri kewangan, berkata polisi utamanya – pemberian AS$282.09 (kira-kira RM1300) melalui dompet digital kepada semua warga Thailand berumur 16 tahun ke atas – akan "membangunkan semula" ekonomi.

"Kami akan menyuntik modal ke dalam semua dimensi ekonomi, untuk mencipta perbelanjaan, menambah baik kehidupan dan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan," katanya sambil menambah ia akan meletakkan asas digital untuk Thailand. 

Bagaimanapun ramai yang mempersoalkan sumber dananya untuk projek yang akan menelan belanja AS$15.80 bilion, termasuk Sirikanya dari Move Forward, yang bertanya sama ada pendatang baru politik Srettha berhasrat untuk "mula memerintah dengan memusnahkan disiplin fiskal". 

Jurin Laksanawisit dari Parti Demokrat, yang baru-baru ini menjadi menteri perdagangan, bertanya apa yang berlaku kepada beberapa janji yang dibuat kepada rakyat untuk memenangi undi. 

“Kamu janjikan gaji 25,000 baht untuk graduan baharu, tetapi tidak disebut,” katanya. 

"Adakah ini dasar ninja yang hilang begitu sahaja?"