- Iklan -
Luar Sana

Thailand akan lancar lebih banyak dasar populis tahun ini, kata PM

Srettha dan kerajaannya telah berjanji untuk memulihkan ekonomi dengan beberapa siri dasar termasuk menggantung hutang untuk petani, menaikkan gaji minimum dan menyediakan pemberian bantuan melalui dompet digital.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin tiba di rumah kerajaan sebelum upacara mengangkat sumpah taat setia di hadapan Raja di Bangkok, Thailand, 5 September. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin tiba di rumah kerajaan sebelum upacara mengangkat sumpah taat setia di hadapan Raja di Bangkok, Thailand, 5 September. Gambar: Reuters

Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin berkata kerajaannya akan melancarkan lebih banyak dasar menjelang akhir tahun ini untuk menurunkan kos sara hidup, termasuk mengurangkan harga elektrik secara beransur-ansur dan menaikkan gaji minimum. 

Bagi mengatasi kelembapan permintaan eksport Thailand dan keyakinan pelabur yang rendah, Srettha dan kerajaan 11 partinya berjanji untuk memulihkan ekonomi kedua terbesar Asia Tenggara itu dengan beberapa siri langkah populis termasuk menggantung hutang untuk petani, menaikkan gaji minimum dan memberikan bantuan kepada semua rakyat dewasa negara itu melalui dompet digital. 

"Kami sudah pun mengurangkan harga elektrik tetapi mahu menurunkan lebih banyak tetapi ia akan mengambil masa dalam beberapa minggu," kata perdana menteri sambil menambah keadaan ekonomi negara "tidak begitu baik". 

Ekonomi dijangka berkembang 2.8% tahun ini, tetapi Srettha mempunyai sasaran pertumbuhan tahunan sebanyak 5%.

"Selain menurunkan kos sara hidup kerajaan akan meningkatkan pendapatan," katanya sambil menambah satu pengumuman akan dibuat pada November.

Pada forum yang dianjurkan oleh media Thailand, Thairath, Srettha yang dilantik sebagai perdana menteri bulan lalu, bercakap mengenai pelbagai topik termasuk kesan fenomena cuaca El Niño terhadap penuaian padi dan keperluan untuk meneroka tanaman alternatif. 

Beliau berkata pentadbirannya mahu membuka pasaran pertanian baru di Afrika dan Timur Tengah dengan tumpuan kepada produk halal, dan meluaskan perjanjian perdagangan bebas dengan negara rakan kongsi, tetapi tidak memberikan butiran. 

Srettha, seorang taikun hartanah dan pendatang baru politik, mendapat kecaman di Parlimen kerana dasar yang dikatakan pembangkang tidak mempunyai hala tuju yang jelas. 

Bagaimanapun, beliau berkata dasar itu akan bertanggungjawab secara fiskal.

Srettha berkata beliau akan menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York minggu ini, sambil menambah pentadbirannya mengekalkan pendirian neutral negara itu di pentas dunia. 

"Kami mempunyai hubungan baik dengan China dan AS. Kami perlu mengambil sikap berkecuali. Tidak condong ke satu arah atau pihak yang lain," katanya. 

Beliau juga bercadang untuk bertemu dengan eksekutif perniagaan tertinggi semasa lawatannya ke AS untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Thailand.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.