- Iklan -
Luar Sana

Pembiakan melampau plankton wujudkan 'zon mati' marin di timur Thailand

Para saintis marin berkata beberapa kawasan di Teluk Thailand mempunyai lebih 10 kali ganda jumlah plankton biasa, menjadikan air menjadi hijau terang dan membunuh hidupan marin.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara air laut berwarna hijau disebabkan oleh pembiakan plankton di Pantai Chonburi, Thailand, 14 September. Gambar: Reuters
Pemandangan udara air laut berwarna hijau disebabkan oleh pembiakan plankton di Pantai Chonburi, Thailand, 14 September. Gambar: Reuters

Pembiakan plankton yang luar biasa padat di luar pantai timur Thailand mewujudkan "zon mati" akuatik, sekali gus mengancam mata pencarian nelayan tempatan yang mengusahakan kerang di kawasan perairan. 

Para saintis marin berkata beberapa kawasan di Teluk Thailand mempunyai lebih 10 kali ganda jumlah plankton biasa, menjadikan air menjadi hijau terang dan membunuh hidupan marin. 

"Ini adalah kali pertama saya melihatnya begitu teruk," kata saintis marin Tanuspong Pokavanich. 

"Ia sangat teruk." 

Menurut pakar, pembiakan plankton berlaku satu atau dua kali setahun dan biasanya berlangsung dua hingga tiga hari.

Ia boleh menghasilkan toksin yang membahayakan alam sekitar, atau membunuh hidupan marin dengan mengurangkan oksigen di dalam air dan menghalang cahaya matahari. 

Pantai Chonburi terkenal dengan ladang kerangnya, dan lebih 80% daripada hampir 300 plot di kawasan itu terjejas, kata Presiden Persatuan Perikanan Chonburi, Satitchat Thimkrajong.

Plot Nelayan Suchat Buwat adalah antara yang terjejas. 

Beliau berkata plankton telah menyebabkannya berdepan kerugian lebih AS$14,000 (kira-kira RM65,700), dengan rakannya turut mengalami kerugian "tidak dapat diduga". 

Walaupun punca pembiakan plankton yang melampau itu masih tidak jelas, namun saintis percaya ia berpunca daripada pencemaran dan haba yang teruk disebabkan oleh perubahan iklim.

"El Niño menyebabkan kemarau dan suhu laut yang lebih tinggi," kata Tanuspong. 

"Segala-galanya akan menjadi lebih teruk jika kita tidak menyesuaikan cara kita mengurus sumber, sisa air dan cara kita hidup." 

Awal tahun ini, pembiakan plankton menyebabkan ribuan ikan mati hanyut di sepanjang pantai di wilayah Chumphon selatan Thailand, dengan pakar menyalahkan perubahan iklim kerana merangsang fenomena semula jadi. 

Di seluruh dunia, gelombang haba marin telah menjadi kebimbangan yang semakin meningkat tahun ini, dengan ribuan ikan mati terdampar di pantai di Texas dan pakar memberi amaran tentang pembiakan alga di sepanjang pantai British akibat peningkatan suhu laut.