Pelancong China yang mendarat di Bangkok mendapat sambutan VIP hari ini, ketika Perdana Menteri Srettha Thavisin secara peribadi menyambut kumpulan pelawat pertama tiba di Thailand selepas negara itu mengecualikan keperluan visa untuk rakyat China bagi meningkatkan industri pelancongan.
Penari berpakaian tradisional turut membuat persembahan bagi menyambut pengunjung yang tiba dari Shanghai.
Ramai yang berhenti untuk berswafoto dengan Srettha.
Pelancongan ialah pemacu utama ekonomi kedua terbesar di negara Asia Tenggara itu, terkenal dengan keindahan pantai dan suasana malam yang meriah.
Ia sekali gus menghidupkan semula industri yang terjejas teruk akibat pandemik.
Ini adalah salah satu keutamaan kepada Srettha yang baru dipilih bagi memulihkan semula ekonomi negara itu.
Srettha berharap dengan pengecualian visa ini, ia dapat menarik lebih ramai pencong China ke Thailand, sekali gus membantu memperbaiki industri pelancongan di negara tersebut yang terjejas teruk akibat pandemik.
"Kami yakin dasar ini akan merangsang ekonomi," kata perdana menteri kepada pemberita di lapangan terbang Suvarnabhumi, sambil menambah bahawa keselamatan pelancong menjadi keutamaan.
Skim pengecualian visa itu bermula dari 25 September hingga Februari tahun depan.
Kerajaan menjangkakan 2.88 juta pengunjung China dalam tempoh lima bulan itu, lebih tinggi berbanding 2.34 juta pelancong China setakat tahun ini.
Sebelum wabak itu, China merupakan sumber pelancong terbesar, menyumbang 11 juta ketibaan daripada rekod 39.9 juta pelancong pada 2019, dan membelanjakan 1.91 trilion baht (AS$53.11 bilion, RM248.95 bilion).
Setakat tahun ini, Thailand mengalu-alukan sejumlah 19 juta pelancong asing ke negara itu.