- Iklan -
Luar Sana

Anak presiden Indonesia terajui parti berasaskan belia

Jokowi akan menamatkan penggal kedua dan terakhirnya tahun depan namun gerakannya untuk meletakkan ahli keluarganya dalam kedudukan pengaruh politik menimbulkan keresahan di negara yang hanya 25 tahun lalu membebaskan diri daripada pemerintahan autoritarian.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Indonesia Joko Widodo bercakap mengenai ibu negara baru republik itu, Nusantara yang dirancangnya, pada Minggu Ecosperity di Singapura 7 Jun. Gambar: Reuters
Presiden Indonesia Joko Widodo bercakap mengenai ibu negara baru republik itu, Nusantara yang dirancangnya, pada Minggu Ecosperity di Singapura 7 Jun. Gambar: Reuters

Anak lelaki Presiden Indonesia Joko Widodo dinamakan untuk menerajui sebuah parti politik semalam, satu langkah yang dilihat kebanyakan penganalisis sebagai mengukuhkan usaha presiden republik itu untuk membina dinasti politik menjelang pilihan raya tahun depan. 

Beliau yang lebih mesra dipanggil Jokowi, akan menamatkan penggal kedua dan terakhirnya tahun depan namun gerakannya untuk meletakkan ahli keluarganya dalam kedudukan pengaruh politik menimbulkan keresahan di negara yang hanya 25 tahun lalu membebaskan diri daripada pemerintahan autoritarian.

Apabila beliau menjawat jawatan tertinggi pada 2014, Jokowi yang juga bekas jurujual perabot, mendapat pujian atas kenaikan mendadak beliau melalui landskap didominasi oleh tentera dan dinasti elit dan politik. 

Bagaimanapun, penganalisis politik berkata Jokowi dalam beberapa tahun kebelakangan ini cuba memastikan legasi pengaruh berterusan melalui anak-anaknya.

Anak sulungnya kini memimpin kota Solo, di mana Jokowi sendiri pernah menjadi datuk bandar, manakala menantunya pula Datuk Bandar Medan. 

Parti Solidariti Indonesia (PSI) yang berorientasikan belia lewat Isnin lalu menamakan Kaesang Pangarep, 28, sebagai pengerusi. 

Kaesang memberi penghormatan kepada Jokowi dalam ucapannya. 

"Saya ingin menempa laluannya dalam politik untuk kebaikan," katanya. 

Walaupun PSI adalah sebuah parti kecil yang ditubuhkan hanya pada 2014 dan tiada wakil di Parlimen, ahli muda dan mahir mengendalikan media sosial boleh memainkan peranan penting dalam merangsang sokongan untuk calon pilihannya pada pilihan raya presiden Februari 2024.

Menurut tinjauan pendapat, Ganjar Pranowo, ahli politik wilayah yang disokong parti Jokowi sendiri PDI-P adalah pilihan untuk jawatan presiden, manakala bekas komander pasukan khas Prabowo Subianto adalah orang kedua rapat dan bekas gabenor Jakarta Anies Baswedan di tempat ketiga. 

Jokowi belum mengesahkan calon secara rasmi, walaupun beliau menyuarakan sokongan kepada Ganjar.

Arya Fernandes, seorang penganalisis yang mengetuai jabatan politik di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, berkata dinasti politik menjadi fenomena yang lebih menonjol di Indonesia dan pelantikan Kaesang mencerminkan sifat berubah Jokowi apabila tempoh penggal presidennya kian berakhir.

“Terdapat banyak keputusan politik Jokowi yang dilihat sebagai tidak demokratik termasuk... dalam dinasti politik,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keahlian Kaesang dalam PSI, Jokowi minggu lalu menegaskan bahawa kerjaya politik anak-anaknya adalah keputusan mereka. 

Dinasti politik adalah perkara biasa di Indonesia. 

Sewaktu pemerintahan Presiden Suharto selama 32 tahun, anak sulungnya berkhidmat sebagai menteri Kabinet. 

Anak perempuan ‘Bapa Kemerdekaan Indonesia’, Megawati Sukarnoputri pernah dipilih sebagai presiden dan mengetuai parti politik terbesar di Parlimen, manakala anak perempuannya adalah speaker dewan.