Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan telah dipindahkan ke sebuah penjara dengan kemudahan lebih baik berhampiran Islamabad selepas perintah mahkamah, kata peguamnya semalam.
Pasukan guaman dan partinya merayu kepada beberapa mahkamah untuk mengeluarkan perintah supaya Khan dipindahkan ke Penjara Adyala di bandar garrison Rawalpindi, yang mereka dakwa lebih sesuai untuk bekas perdana menteri itu.
Khan telah ditahan di penjara era kolonial yang sederhana di daerah Attock barat laut, yang kekurangan kemudahan seperti bilik mandi dan televisyen serta menyukarkan keluarga dan rakan untuk melawat atau menghantar surat khabar, buku atau makanan.
Peguamnya Naeem Panjutha dalam ciapan di Twitter, berkata dia telah dipindahkan ke penjara baharu.
Pembantu rapat Khan, Zulfikar Bukhari bagaimanapun berkata, beliau percaya bekas perdana menteri itu dalam perjalanan ke kemudahan baru tersebut.
Khan dipenjarakan sejak awal Ogos lalu selepas disabitkan dengan tuduhan rasuah.
Mahkamah menggantung hukuman penjara tiga tahunnya, akan tetapi dia tidak dapat dibebaskan dengan ikat jamin selepas pihak berkuasa mendakwanya dalam kes lain berkaitan kebocoran maklumat rahsia negara.
Khan berkata tuduhan itu direka untuk menghalangnya bertanding dalam pilihan raya awal tahun depan, satu dakwaan yang dinafikan oleh pihak berkuasa.