- Iklan -
Luar Sana

Indonesia haramkan transaksi e-dagang di media sosial

Kerajaan berkata langkah itu bertujuan untuk melindungi peniaga sedia ada yang menjalankan perniagaan secara fizikal dan pasaran dalam ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Logo becetak TikTok dilihat dalam ilustrasi yang diambil pada 15 Februari 2022. TikTok mengatakan aplikasinya mempunyai 325 juta pengguna yang aktif di Asia Tenggara setiap bulan, dan 125 juta daripadanya berada di Indonesia. Gambar: Reuters
Logo becetak TikTok dilihat dalam ilustrasi yang diambil pada 15 Februari 2022. TikTok mengatakan aplikasinya mempunyai 325 juta pengguna yang aktif di Asia Tenggara setiap bulan, dan 125 juta daripadanya berada di Indonesia. Gambar: Reuters

Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial, kata menteri perdagangan hari ini, dalam satu langkah yang bertujuan untuk melindungi peruncit sedia sekali gus akan memberi kesan kepada platform video pendek TikTok dan segmen beli-belahnya.

Kerajaan berkata langkah itu bertujuan untuk melindungi peniaga sedia ada yang menjalankan perniagaan secara fizikal dan pasaran dalam ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu, sambil menambah bahawa harga pemangsa pada platform media sosial mengancam perusahaan kecil dan sederhana. 

Menteri Perdagangan Zulkifli Hasan memberitahu pemberita peraturan itu, yang berkuat kuasa serta-merta itu bertujuan memastikan persaingan perniagaan "adil dan saksama", sambil menambah ia juga untuk memastikan perlindungan data pengguna. 

Dalam pada masa yang sama, beliau memberi amaran kepada pengguna menjadikan media sosial sebagai platform e-dagang, kedai, dan bank.

Peraturan itu juga menuntut platform e-dagang di Indonesia untuk menetapkan harga minimum AS$100 (RM470.65) untuk item tertentu yang dibeli terus dari luar negara, menurut dokumen peraturan yang disemak oleh Reuters, dan semua produk yang ditawarkan harus memenuhi piawaian keperluan tempatan. 

Zulfikli tidak menyebut TikTok, walaupun timbalannya Jerry Sambuaga menamakan ciri "live" TikTok sebagai contoh orang menjual barangan di media sosial. 

BMI, unit Fitch Solutions, berkata bahawa TikTok akan menjadi satu-satunya perniagaan yang terjejas susulan pengharaman transaksi kerana modelnya bergantung pada e-dagang sosial, walaupun "ia tidak akan menjejaskan pertumbuhan industri pasaran digital". 

Reuters cuba mendapatkan maklum balas daripada jurucakap TikTok Indonesia namun tidak berjaya.

Isnin lalu, jurucakap itu berkata kerajaan harus mempertimbangkan "mata pencarian lebih enam juta" penjual tempatan yang aktif di TikTok.

Menurut syarikat itu, aplikasinya mempunyai 325 juta pengguna yang aktif di Asia Tenggara setiap bulan, dan 125 juta daripadanya berada di Indonesia – setanding dengan angka penggunanya di Eropah dan tidak terlalu jauh di belakang AS, di mana ia mempunyai 150 juta pengguna. 

Indonesia, dengan populasi lebih 270 juta penduduk, menyumbang hampir AS$52 bilion transaksi e-dagang tahun lepas, menurut data daripada perundingan Momentum Works. 

Daripada jumlah itu, 5% berlaku di TikTok, terutamanya melalui penstriman langsung, katanya. 

TikTok dimiliki oleh syarikat teknologi dari China, ByteDance.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.