- Iklan -
Luar Sana

AS puji Filipina alih penghadang di Laut China Selatan

Insiden itu menyerlahkan ketegangan antara China dan Filipina ketika Manila sedang mengukuhkan hubungan ketenteraan dengan Washington.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kapal Pengawal Pantai China dilihat dari bot nelayan Filipina di Scarborough Shoal, 6 April 2017. Gambar: Reuters
Sebuah kapal Pengawal Pantai China dilihat dari bot nelayan Filipina di Scarborough Shoal, 6 April 2017. Gambar: Reuters

Tindakan Filipina mengalihkan penghadang terapung China berhampiran Scarborough Shoal di kawasan pertikaian di Laut China Selatan adalah "langkah berani dalam mempertahankan kedaulatan mereka", kata seorang pegawai kanan pertahanan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis. 

Manila telah menyatakan kemarahan terhadap langkah China menempatkan sebuah penghadang panjang dan pelampung bola berhampiran singkapan berbatu, kira-kira 200km dari Filipina. 

Ia mencetuskan perbalahan beberapa tahun sejak kebelakangan ini mengenai kedaulatan dan hak menangkap ikan. 

Isnin lalu, pengawal pantai Filipina berkata ia melaksanakan "operasi khas" untuk mengalihkan penghadang, menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan mengundang bahaya kepada pelayaran. 

Semasa perbicaraan kongres, Timbalan Penolong Setiausaha Pertahanan AS untuk Asia Selatan dan Tenggara Lindsey Ford memuji tindakan Filipina dan mengesahkan komitmen keselamatan Washington kepada sekutu Asianya itu.

"Jabatan itu sangat jelas bahawa apabila ia melibatkan komitmen perjanjian kami dengan Filipina, kami percaya serangan bersenjata terhadap Angkatan Tentera Filipina, kapal awam, pesawat, dikenakan ke Laut China Selatan. 

“Itu termasuk Pengawal Pantai Filipina," kata Ford kepada jawatankuasa kecil Dewan Perwakilan mengenai hal ehwal luar negeri. 

"Kami berpegang pada komitmen itu secara mutlak," katanya. 

Pengawal pantai China lewat Rabu mempertikaikan tindakan Filipina itu, sambil berkata pihak republik itu telah meletakkan semula penghadang berkenaan pada Sabtu selepas mengerahkannya sehari lebih awal apabila sebuah kapal Filipina "secara haram" memasuki kawasan itu. 

Kementerian Luar China mempertahankan tindakan pengawal pantainya sebagai "langkah perlu" selepas biro perikanan Filipina "menceroboh" perairannya pada Jumaat.

Insiden itu menyerlahkan ketegangan antara China dan Filipina ketika Manila sedang mengukuhkan hubungan ketenteraan dengan Washington. 

Ford berkata AS "teruja" mengenai pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Pertahanan yang Dipertingkatkan, perjanjian yang dicapai awal tahun ini antara Manila dan Washington yang memberikan AS akses kepada empat lagi pangkalan tentera di Filipina. 

Kawalan terhadap Scarborough Shoal yang strategik dan dirampas pada 2012 oleh China, merupakan isu sensitif kerana ia merupakan sebahagian daripada kes undang-undang yang difailkan Filipina di Mahkamah Tetap Timbang Tara di Hague. 

Pada 2016, mahkamah memutuskan bahawa tuntutan Beijing terhadap 90% Laut China Selatan tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa. 

China enggan mengiktiraf keputusan tersebut.