- Iklan -
Luar Sana

Filipina hanya pertahankan wilayah, bukan cari masalah di Laut China Selatan

Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, dalam ucapan pertamanya berhubung kemelut terbaru, berkata Filipina mempertahankan haknya untuk menangkap ikan di zon ekonomi eksklusifnya.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr memeriksa barisan kawalan kehormat semasa istiadat di Istana Negara di Kuala Lumpur, 26 Julai. Gambar: Reuters
Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr memeriksa barisan kawalan kehormat semasa istiadat di Istana Negara di Kuala Lumpur, 26 Julai. Gambar: Reuters

Filipina akan mempertahankan wilayah dan hak nelayannya dengan tegas dan tidak mahu mencari masalah, kata presidennya hari ini, ketika pertelingkahan yang semakin memuncak dengan China berhubung akses ke beting strategik di Laut China Selatan. 

Pengawal pantai Filipina minggu ini berkata telah memotong penghadang terapung sepanjang 300m dipasang China yang menghalang akses ke Scarborough Shoal, kawasan pertikaian hangat dikawal Beijing selama lebih sedekad. 

Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, dalam ucapan pertamanya berhubung kemelut terbaru itu, berkata Filipina mempertahankan haknya untuk menangkap ikan di zon ekonomi eksklusifnya. 

“Apa yang akan kami lakukan ialah untuk terus mempertahankan Filipina, wilayah maritim Filipina, hak nelayan kami untuk menangkap ikan di kawasan yang mereka lakukan sejak ratusan tahun lalu,” kata Marcos kepada pemberita. 

"Itulah sebabnya saya tidak faham mengapa ini berlaku."

Pengawal pantai China mempertikaikan alasan diberikan Filipina terhadap insiden itu, manakala AS mempertahankan tindakan sekutunya Manila, dengan seorang pegawai kanan pertahanan menyifatkan  tindakan negara itu sebagai "langkah berani" dan cukup penting untuk mempertahankan bekas jajahannya. 

Marcos menambah: "Banyak daripada ini adalah isu operasi dan saya tidak boleh bercakap mengenainya. 

"Tetapi dari segi mengalihkan hadangan, saya tidak nampak apa lagi yang boleh kami lakukan."

Hubungan antara Filipina dan China semakin tegang sejak akhir-akhir ini, sebahagian besarnya disebabkan oleh cadangan daripada Marcos untuk memperdalam hubungan pertahanan dengan Washington, termasuk menawarkan akses yang diperluaskan kepada tenteranya, kononnya bagi tujuan latihan dan kemanusiaan. 

China, yang mendakwa bahawa Scarborough Shoal adalah sebahagian daripada wilayahnya, telah menegur Amerika Syarikat atas apa yang dipanggil sebagai provokasi di rantau itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.