- Iklan -
Luar Sana

PM baru Thailand komited tarik lebih ramai pelabur asing

Ini termasuk melakukan lebih banyak perjanjian perdagangan bebas.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin. Gambar: Reuters

Perdana Menteri baharu Thailand Srettha Thavisin pada Jumaat berkata kerajaannya komited untuk memperkenalkan perubahan bagi menjadikan negara itu destinasi utama kepada pelabur asing, termasuk meneruskan lebih banyak perjanjian perdagangan bebas. 

Srettha dalam ucapan di satu forum berkata bahawa kerajaannya akan menambah baik infrastruktur dan pengurusan air, menaik taraf lapangan terbang untuk menarik pelancongan, memperluas pakatan perdagangan untuk bersaing dengan jiran, dan memudahkan syarikat mengambil lebih ramai pekerja asing di Thailand. 

Beliau menegaskan dasar luar negara akan berkecuali dan tidak memihak antara Amerika Syarikat (AS) dan China, sambil menambah bahawa Jepun adalah kuasa besar yang komited kepada Thailand, memandangkan sejarah panjangnya sebagai pelabur utama negara itu.

Taikun hartanah itu juga berkata beliau sedang berusaha untuk menarik pengeluar kenderaan elektrik ke negara itu tetapi tidak akan mengabaikan pengeluar kereta sedia ada, sebagai jaminan kepada syarikat dari Jepun, pemacu utama industri pembuatan keretanya. 

Stretta juga menekankan keperluan untuk meluaskan pasaran bagi barangan pertanian Thailand dan menyokong petani yang telah lama dibebani hutang, tetapi menegaskan tidak akan ada dasar jaminan harga bagi hasil mereka seperti kerajaan terdahulu, melainkan pada masa krisis. 

Beliau membuka ucapan dengan menyatakan perlembagaan negara perlu dipinda bagi menangani perpecahan politik dan jurang ekonomi yang kronik.