- Iklan -
Luar Sana

Indonesia nafi kebakaran hutan Sumatera, Borneo punca jerebu di Malaysia

Walaupun kebakaran hutan biasanya dimulakan oleh petani bagi membersihkan tanah untuk tujuan pertanian, namun pihak berkuasa berkata proses memadamkan kebakaran tahun ini menjadi lebih sukar disebabkan fenomena El Nino.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara menunjukkan jambatan Ampera diselubungi jerebu tebal akibat kebakaran hutan di Palembang, wilayah Sumatera Selatan, Indonesia, 1 Oktober, dalam gambar yang diambil oleh Antara Foto. Gambar: Reuters
Pemandangan udara menunjukkan jambatan Ampera diselubungi jerebu tebal akibat kebakaran hutan di Palembang, wilayah Sumatera Selatan, Indonesia, 1 Oktober, dalam gambar yang diambil oleh Antara Foto. Gambar: Reuters

Kementerian Alam Sekitar Indonesia hari ini menafikan tuduhan bahawa kebakaran hutan di Sumatera dan bahagian pulau Borneo, yang telah menyelubungi beberapa bandarnya dengan jerebu tebal, juga menjejaskan kualiti udara di negara jiran Malaysia. 

Malaysia pada Jumaat memberi amaran kepada penduduk tentang tahap pencemaran yang tinggi di kebanyakan kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia dan wilayah barat Borneo Sarawak, menyalahkan jerebu rentas sempadan dari Indonesia, kata Jabatan Alam Sekitar dalam satu kenyataan.

Menteri Alam Sekitar Indonesia Siti Nurbaya Bakar menjawab dengan mengatakan Jakarta tidak mengesan sebarang jerebu rentas sempadan dari Indonesia ke negara jiran. 

"Kami terus mengikuti sebarang perkembangan dan tiada jerebu merentas sempadan ke Malaysia," katanya dalam satu kenyataan. 

Ketika ini, Indonesia memberi tumpuan untuk memadamkan kebakaran hutan di beberapa wilayah di Sumatera dan Borneo dengan kaedah bom air menggunakan helikopter, tambah menteri itu.

Selain sempadan maritim, Malaysia berkongsi sempadan darat dengan Indonesia di pulau Borneo.

Malaysia bagaimanapun tidak memfailkan aduan diplomatik akibat jerebu, kata jurucakap Kementerian Luar Indonesia. 

Musim kemarau di Indonesia tahun ini adalah yang paling teruk sejak 2019 berikutan kesan corak cuaca El Nino. 

Walaupun kebakaran hutan biasanya dimulakan oleh petani bagi membersihkan tanah untuk tujuan pertanian, namun pihak berkuasa berkata proses memadamkan kebakaran tahun ini menjadi lebih sukar disebabkan fenomena El Nino.

Lebih 267,900 hektar (661,995.3 ekar) hutan dibakar setakat tahun ini, lebih besar berbanding jumlah keseluruhan seluas 204,894 hektar pada 2022, menurut data kementerian alam sekitar. 

Ini telah menyebabkan jerebu merebak ke beberapa bandar di Sumatera dan Borneo. 

Beberapa kawasan di Kalimantan Tengah, Borneo, melaporkan jarak penglihatan kurang daripada 10 meter, lapor agensi berita Antara. 

Media tempatan melaporkan, pihak berkuasa telah mengarahkan sesi pembelajaran jarak jauh untuk pelajar di bandar Palembang dan Jambi di selatan Sumatera mulai minggu ini susulan tahap pencemaran yang teruk.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.