Polis Thailand menahan seorang remaja lelaki bersenjata yang disyaki membunuh dua warga asing dan mencederakan lima yang lain dalam satu kejadian tembak menembak di sebuah pusat beli-belah mewah Bangkok, semalam.
Ini merupakan keganasan senjata api berprofil tinggi terbaru yang menggegarkan negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ratusan orang, termasuk kanak-kanak, dilihat menjerit dan berpusu-pusu ke jalan raya selepas bunyi tembakan kedengaran di pusat beli-belah Siam Paragon, tempat membeli-belah dan hiburan utama yang popular dengan pelancong di pusat komersial Bangkok.
Polis berkata dua wanita terbunuh, dari China dan Myanmar, dan lima lagi cedera.
Ketua Polis Negara Torsak Sukvimol berkata, suspek berusia 14 tahun dan telah menerima rawatan psikiatri, tetapi gagal mengambil ubat yang ditetapkannya pada hari kejadian.
"Kami telah bercakap dengan ibu bapanya," kata Torsak kepada pemberita.
"Suspek berkata bahawa seseorang menyuruhnya menembak orang lain."
Para pembeli bergegas mengosongkan pusat beli-belah tersebut sambil dibantu pengawal keselamatan ke arah jalan raya yang sesak.
Rakaman media sosial yang disahkan menunjukkan beberapa orang meluru ke arah pintu keluar pasar raya di tingkat bawah, menjerit ketika bunyi tembakan kedengaran.
"Ia berlaku dalam beberapa minit sahaja. Kami melihat semua orang berlari, berlari, berlari, kami tidak faham apa yang berlaku," kata Shir Yahav, 26 tahun dari Israel, yang berada di kedai berjenama semasa kejadian tembakan itu.
"Kami mendengar beberapa tembakan, seperti enam atau tujuh tembakan."
Keganasan senjata api dan pemilikan senjata bukan perkara luar biasa di Thailand dan kejadian itu berlaku setahun selepas seorang bekas pegawai polis membunuh 35 orang, termasuk 22 kanak-kanak di taska, semasa serangan senjata api dan pisau selama berjam-jam.
Dia kemudian menembak dirinya di rumah.
Pada 2020, seorang askar menembak dan membunuh sekurang-kurangnya 29 orang dan mencederakan 57 yang lain dalam kejadian amuk yang merentasi empat lokasi di sekitar bandar timur laut Nakhon Ratchasima.
Perkhidmatan kecemasan berkongsi imej seorang pegawai polis menggari seorang individu dalam keadaan terlentang di atas tanah dan seorang lagi seorang pegawai sedang mengambil pistol dari lantai.
Pihak berkuasa sebelum ini menyiarkan imej kasar lelaki bersenjata yang disyaki memakai cermin mata, seluar kargo khaki dan topi besbol, memegang objek gelap yang tidak dapat dikenal pasti.
Insiden itu berlaku ketika kerajaan baru Thailand berusaha untuk merangsang ekonominya yang lembap dengan meningkatkan ketibaan pelancong di salah satu kawasan tumpuan pelancongan paling popular di Asia, termasuk dengan menawarkan kemasukan tanpa visa kepada warga China.
Dinobatkan sebagai tempat paling banyak bergambar di dunia oleh Instagram pada 2013, Siam Paragon ialah pusat beli-belah paling terkenal di Thailand, menarik ramai pembeli tempatan dan asing setiap hari ke kedai mewah, akuarium, panggung wayang dan tempat makan yang popular di medan selera.
Susinee, seorang pekerja restoran, berkata dia dan rakan sekerjanya melarikan diri apabila mereka mendengar bunyi tembakan.
"Kami baru sahaja habis kerja," katanya sambil berdiri bersama enam rakan sekerjanya.
Polis berkata kakitangan di pusat beli-belah itu telah menerima latihan dalam menangani penembak aktif.
Pusat beli-belah itu berkata ia telah memindahkan pembeli dan kakitangan serta-merta, menekankan keselamatan adalah yang paling penting.
"Siam Paragon ingin merakamkan permohonan maaf atas kejadian yang tidak dijangka itu," katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah pusat beli-belah itu akan dibuka semula pada Rabu.