Tanggal 13 Oktober lalu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengadap Yang di Pertuan Agong untuk mempersembahkan apa yang didakwanya sokongan majoriti ahli Parlimen untuk beliau menjadi perdana menteri.
Pada hari yang sama, sebanyak 660 kes baru Covid-19 dengan empat kematian dilaporkan.
Kini, hampir semua negeri sudah ada penularan pandemik itu dan buat masa ini, kes-kes baru belum menunjukkan tanda-tanda akan berkurangan.
Namun, beberapa hari sebelum itu, sejurus selepas ketua pembangkang membuat pengumuman mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang, terus pasaran saham jatuh dan pemimpin-pemimpin politik bergaduh.
Seperti biasa, rakyat mengeluh dan bimbang mengenai pandemik Covid-19 yang masih mengancam dan ia akan menjejaskan kembali periuk nasi mereka.
Kembali ke perihal pasaran saham, bursa tempatan dikatakan susut 0.7% pada sesi penutupan tengah hari, sejurus selepas Anwar mendakwa beliau mendapat majoriti “kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Parlimen, seterusnya memberi laluan kepada beliau untuk menjadi perdana menteri ke-9.
Ia kemudian disusuli kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa bahawa pengumuman oleh Anwar itu menyebabkan Bursa Malaysia mengalami kerugian.
Timbalan Menteri Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim turut dilaporkan berkata, tindakan Anwar itu menyebabkan kesan yang tidak sepatutnya kepada ekonomi negara.
Perbuatan itu dilihat seolah-olah ingin mensabotaj ekonomi negara.
Ada dalam kalangan penyokong pemimpin nombor satu PKR itu menafikan prestasi buruk Bursa Malaysia disebabkan pengumuman Anwar, lalu menyalahkan “situasi politik semasa” sebagai puncanya.
Apa yang dimaksudkan dengan “situasi politik semasa”?
Berita mengenai penglibatan Anwar dengan saham syarikat-syarikat tertentu turut menarik perhatian, akan tetapi ia dinafikan oleh beliau.
Penafian itu hadir sehari sebelum beliau mengadap Yang di Pertuan Agong, dengan berkata laporan itu adalah palsu dan berniat menipu pembeli saham.
Itulah serba sedikit kesan selepas Anwar membuat pengumuman beliau mendapat sokongan di Dewan Rakyat, melebihi sokongan kepada Muhyiddin Yassin.
Pelabur-pelabur tentunya gelisah kerana perubahan kerajaan bukan perkara kecil, sebaliknya hadir bersama pelbagai impak. Ia turut menjejaskan pelaburan langsung asing (FDI) kerana pelabur-pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat.
Perbuatan itu dilihat seolah-olah ingin mensabotaj ekonomi negara.
Adakah situasi sedemikian yang diharapkan rakyat dalam keadaan ekonomi negara terkesan teruk akibat krisis Covid-19. Tambahan pula negara kita mengamalkan ekonomi terbuka dan amat bergantung kepada FDI.
Adakah sekarang waktu yang sesuai untuk menukar kerajaan dan apakah kepastiannya andai kata perdana menteri baru mewakili gagasan parti politik lain daripada gabungan sekarang, semua masalah dan isu boleh diselesaikan?
Dalam jangka masa pendek, kemelut politik akan menjejaskan ekonomi negara, namun andai ia berterusan dan tiada penyelesaian mapan, pasti menjejaskan bukan sahaja prestasi dan keyakinan pelabur tetapi juga akan membantutkan usaha pemulihan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Rakyat bukan ternanti-nanti pengganti Muhyiddin ketika ini, beliau bukannya individu yang pentingkan agenda peribadi untuk menjadi perdana menteri.
Bukan lagi rahsia bahawa presiden PKR mahu menyelesaikan misinya untuk berada di hirarki tertinggi di Putrajaya, jawatan yang “sepatutnya sudah lama menjadi miliknya”.
Hanya dek kerana didakwa “konspirasi politik” direncana pendengki ia terlepas.
Namun, siapa yang berani berikan kepastian Anwar boleh menyelesaikan masalah dan isu yang sedang dihadapi negara ketika ini, terutama krisis ekonomi?
Memang beliau pernah menjadi timbalan perdana menteri merangkap menteri kewangan, tetapi zaman itu sudah lebih 20 tahun berlalu.
Zaman ketika beliau mencadangkan Malaysia meminjam daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk keluar daripada krisis kewangan.
Mungkin ramai masih ingat peristiwa berkenaan dan ingat bagaimana perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad menolak cadangan Anwar, sekali gus berjaya mengelakkan Malaysia daripada mengikut telunjuk IMF yang natijahnya amat parah.
Adakah sesiapa berani beri jaminan Anwar sudah tidak lagi naif dalam pengurusan ekonomi untuk menggalas tanggungjawab mengemudi Malaysia ketika rakyat dan mungkin juga dunia masih tertanya-tanya apa hala tuju politik negara kita.
Apa yang pasti, ketidakstabilan yang berlarutan akan menyebabkan banyak agenda pembangunan negara terjejas, lebih-lebih lagi pada November nanti apabila kerajaan sepatutnya mengumumkan Belanjawan 2021 di samping menyempurnakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK ke-12).
Seeloknya, kerajaan sedia ada diberi sokongan dan mandat yang kukuh bagi menangani krisis Covid-19 dan pemulihan ekonomi.
Meskipun Muhyiddin dan barisan anggota Kabinetnya ada kekurangan di sana sini, ia masih boleh dimaafkan, lantaran apa yang dilakukan beliau ketika ini jauh lebih baik daripada yang pernah kita ada sebelumnya atau pemimpin yang masih percaya menjadi perdana menteri adalah takdirnya.
Kepada yang taksub kuasa dan jawatan, tunggulah tidak sampai 36 bulan saja pun lagi, penggal PRU-14 akan berakhir. Rakyat kita pandai membuat pilihan dan andai benar anda layak, pasti mereka tidak sukar untuk memilih parti dan pemimpin mana yang mereka percaya dan yakini.
Satu hadis Riwayat al-Bukhari, menceritakan kisah Rasulullah pernah menegur dua lelaki yang meminta daripada baginda supaya mereka diberikan kuasa sebagai pemimpin.
Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Kami tidak memberikan urusan kepimpinan ini kepada siapa yang memintanya, kami juga tidak berikan kepimpinan buat mereka yang terlalu bersungguh mendapatkannya.”
* Tulisan ini merupakan pandangan penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.