Puisi-puisi Melayu Salleh ben Joned yang segugus itu mengatasi - semua - kekuatan puisi Muhammad Haji Salleh malah Salleh bahkan menurut saya meninggalkan Usman Awang sebagai penyair romantik Melayu.
Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.
Seingat saya, pernah bertemu dengan Salleh ben Joned dua kali semasa arwah masih hidup.
Sekali di luar Skoob Books (ketika itu masih terletak di Bangsar), dan kali kedua di The Actors Studio (ketika itu masih di bawah Dataran Merdeka).
Kedua-dua pertemuan itu tidaklah lama.
Kalau boleh memutar masa, ingin saya berlama dengan beliau.
Tetapi Salleh sudah tiada. Beliau meninggal dunia pada 29 Oktober yang lalu.
Saya belum begitu mengenali karya-karya beliau tentunya.
Ini kerana mungkin Salleh menulis lebih banyak dalam bahasa Inggeris, dan pertemuan dua kali itu; Salleh seperti biasanya menonjolkan sifat gila-gilanya yang mungkin sedikit mengejutkan saya.
Kadang juga dia seakan terlebih celupar.
Ketika itu saya di tahun pertama Universiti Malaya, masih mentah dan cara fikir saya sedang dibentuk oleh macam-macam penelaahan.
Justeru, pertemuan-pertemuan singkat dengan Salleh itu terasa menjauhkan, berbanding mendekatkan.
Mana mungkin misalnya melupakan kartu nama Salleh yang tertera: Angkasawan Negara.
Waktu itu tentu Sheikh Muszaphar Shukor belum pun lagi melihat bulan dari angkasa raya.
Akan tetapi, Amir Muhammad, Kathy Rowland dan Rosihan Zain paling selalu mendorong saya membaca tulisan Salleh.
Menurut mereka karya-karya Salleh semacam nakal, dan juga provokatif.
Saya barulah mengenal perkataan “provokatif” di rangsang sari (blurb) buku novelis China bernama Su Tong.
Perkataan itu menurut saya segar, malah merupakan satu definisi penting dalam hidup selaku pengarang yang baru bertatih; dan kata itu kelihatannya adalah kuasa.
Jika provokasi itu kuasa, maka saya melihat semangat dan pendekatan provokatif yang sama pada guru saya, Cikgu Shahnon Ahmad.
Lama-kelamaan kata provokatif itu menjadi kecintaan saya.
Maka apabila semakin ramai orang memerihalkan tentang arwah Salleh ben Joned yang miang, esentrik dan kuat bermain-main; semakin saya percaya Salleh ini ada kuasa.
Ini kerana beliau seorang provokatif.
Demikian provokatif, Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh pernah menggambarkan Salleh sebagai seorang pengarang yang “traumatizing to the Malays” kerana usik acah Salleh terhadap gagasan ketuanan Melayu.
Usik sakat dan acah ejek ini misalnya dapat ditemukan dalam buku beliau Adam’s Dream (2007).
Akan tetapi pada waktu itu sanggahan-sanggahan kepada ketuanan Melayu belum menarik buat saya yang menggelumangi sastera Melayu, tidak begitu fasih berbahasa Inggeris; dan sedang belajar di Fakulti Syariah, Universiti Malaya.
Kritikan atau kejujuran Muhammad Haji Salleh mengenai puisi-puisi bahasa Melayu Salleh ben Joned – bahawa ia menakutkan Melayu – seperti termuat dalam kumpulan puisi beliau “Sajak-Sajak Salleh” mengakibatkan Salleh semacam merajuk.
Namun, puisi-puisi mudah Salleh (yang tujuannya untuk dideklamasikan berbanding untuk dihayati dan dibisik-bisik ala Khalil Gibran sebelum lena malam hari) yang mengacum golongan politisyen begitu menghiburkan.
Saya serta merta jatuh cinta dengan karya Salleh ben Joned.
Tambahan pula kata provokasi itu kekal dalam ingatan saya.
Kerana provokatif itu adalah kuasa.
Salleh menulis misalnya puisi “In Praise of Kemunting” dengan penuh gelak ketawa:
[Kemut…err…Sorry, Kemunting was truly a place for the likes of me. Now (it’s now or never, baby!), I know what those stark letters really stand for.
ISA, brader, does not stand for what everyone thinks it does. No, no. Internal Security Act, my foot! The Maha Moron, under whose regime I was sent to Kemunting didn’t have a clue of what ISA really stands for.
ISA actually stands for Inner Satisfaction Act (Inner via the outer lah!)]
Salleh juga bermain-main dengan kuasanya – tetapi penuh gaya – dalam puisi beliau “Spermatic Politics or Bugger It!” yang mana menyorot arus reformasi.
Dalam penuh imbangan, Salleh tidak mesti mengangkat tokoh politik tersebut, tetapi turut menghempasnya:
[Being embraced as a Western darling Is a sweet fate not to be lightly borne. In my soul and Abim ghost’s still haunting; And my mind is somewhat sadly torn Between the lure of my flashy Armani And some stale lore in my treacherous memory. Don’t cry for me, Anwaristas!]
Kritikan atau kejujuran Muhammad Haji Salleh mengenai puisi-puisi bahasa Melayu Salleh ben Joned – bahawa ia menakutkan Melayu – seperti termuat dalam kumpulan puisi beliau “Sajak-Sajak Salleh” mengakibatkan Salleh semacam merajuk.
Beliau membuat keputusan berhenti mengarang dalam bahasa Melayu. Kata Salleh; “If with just one book, my first, I’ve traumatised the Malay writers, I wonder what the next one will do!”
Sayang sekali Salleh berhenti mengarang dalam bahasa Melayu.
Puisi-puisi yang beliau karangkan dalam bahasa kebangsaan itu sangat indah, halus, penuh pilin kias dan imej yang sungguh berkuasa di sebalik mesej dan tema yang sarat provokasi.
Antara puisi beliau yang paling gila indah adalah “Selendang Maut 1”. Bait puisi tersebut seperti suatu tarian mempersonakan yang dipersembahkan kepada Raja Siam:
[Tilik dan cium warnanya, tilik; tilik dan cium urat-benangnya, cium: merah padam seperti marah maluku, tajam milu seperti pedih hempeduku. Sutera dara yang kucelup dalam air madu Tanah Serendah; selenang cindai yang ditenun isteri yang setia pada sumpah.]
Menurut saya, puisi-puisi Melayu Salleh ben Joned yang segugus itu mengatasi – semua – kekuatan puisi Muhammad Haji Salleh malah Salleh bahkan menurut saya meninggalkan Usman Awang sebagai penyair romantik Melayu.
Selain karya kreatif yang luar biasa, baik untuk dijeritkan di pentas atau dibisik dalam hati Salleh juga adalah seorang esais yang berwibawa.
Kebanyakan rencana garapan Salleh ini adalah menerusi kolum sastera beliau di New Straits Times.
Ada sebuah artikel beliau yang pernah menjadi panduan buat saya, apabila karya-karya saya bertalu-talu diharamkan oleh pentadbiran Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi.
Tulisan Salleh itu bertajuk “Religion and Creative Freedom” yang terbit pada 17 November 1993.
Salleh dengan tegas menyatakan penyair mempunyai wewenang dan keutuhan untuk berkarya:
[As for the poet, he should always listen to the voice of his artistic conscience: that “other voice” Octavio Paz talks of which affirms unity in diversity and sings the song of concord that transcends conflicts of doctrine. Poetry, like other forms of literature, can only perform its proper function in a state of creative freedom…)
Perenggan dalam tulisan Salleh itu benar-benar membangkitkan rasa perlawanan saya untuk membawa empat buah buku saya yang diharamkan itu ke Mahkamah.
Empat buah buku diangkat larangannya. Buku yang lain tidak sempat saya bawakan ke Mahkamah Keadilan kerana luput waktu wartanya.
Terima kasih Salleh.
Terima kasih kerana menghiasi sastera negara ini dengan kenakalan dan gila-gilamu itu.
Kamu satu-satunya. Hanya kamu. Selamat jalan Salleh ben Joned.
Selamat jalan dengan provokasi, dan dengan kuasa.
Saya hanya ingin mengungkap kembali serangkap catatan Usman Awang yang beliau tinggalkan di halaman awal buku Salam Benua yang dihadiahkan kepadamu dulu.
Nota itu adalah diri kamu, dan kerana itu kamu akan kekal berkuasa buat beberapa lama.
[Saudaraku Salleh Ben Joned merah ini darah Jebat. Ada seribu macam AMOK dan kita pilih salah satu!]