- Iklan -
Rencana

Politik identiti punca BN, Umno tumpas

Seruan untuk Zahid dan pucuk pimpinan untuk melepaskan jawatan mereka semakin kuat.

Jamari Mohtar
4 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno, Zahid Hamidi bersama Timbalan, Mohamad Hassan selepas menaikkan bendera Umno ketika Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Presiden Umno, Zahid Hamidi bersama Timbalan, Mohamad Hassan selepas menaikkan bendera Umno ketika Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Bagaikan retak menanti belah – itulah nasib yang menanti Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno apabila mesyuarat majlis tertingginya dibatalkan secara tiba-tiba malam Isnin lalu kerana para pemimpin parti komponennya tidak muncul.

Ini menunjukkan “perang dingin” bukan hanya antara Umno dengan Kongres India Malaysia (MIC) tetapi juga meliputi dua parti komponen lain – Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Tetapi buat masa ini, “senapang” seolah-olah dihalakan ke arah MIC dan MCA berdasarkan kenyataan seorang ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi yang memperingatkan kedua-dua parti komponen itu untuk membuat pilihan dengan teliti dan tidak “terlalu cemas” dalam mencari rakan baru.

Seseorang dapat dimaafkan sekiranya berpendapat perbalahan hanya antara Umno dengan MIC, melihat pada rentetan perang mulut antara keduanya sejak perhimpunan agung tahunan MIC awal bulan ini di mana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diundang untuk memberikan ucaptama.

Ini menimbulkan tuduhan MIC sedang bergerak ke arah menyokong Perikatan Nasional (PN), yang membawa kepada reaksi kuat dari presiden MIC, SA Vigneswaran yang mengatakan: “Jika mengundang perdana menteri untuk berucap dalam perhimpunan parti ditafsirkan kami (MIC) melompat ke PN, maka itu adalah perkara yang paling bodoh (untuk dikatakan).

“Untuk bersikap adil, kita harus mengundangnya. Beliau memberi jawatan menteri kepada timbalan presiden saya tanpa rekomendasi BN. Itu adalah hakikatnya, kecuali jika ada yang dapat mempertikaikannya.”

M Saravanan, timbalan presiden MIC, adalah Menteri Sumber Manusia di kabinet sekarang, dan penyertaannya dalam Kabinet adalah keputusan tunggal Muhyiddin yang merasakan sebilangan kecil anggota parlimen India di parlimen yang menyokong PN semuanya mesti disertakan dalam Kabinet demi memelihara kepentingan dan kebajikan masyarakat India.

Sekiranya berlaku perpecahan, ini adalah kesalahan Umno yang mencerminkan keburukan politik identiti apabila MIC mendedahkan buat pertama kalinya bahawa ketika BN memutuskan untuk menyertai kerajaan baru PN pada Mac tahun lalu, ia tidak mengesyorkan kepada perdana menteri, seorang calon menteri dari MIC yang semestinya suatu perkara yang mudah dilakukan kerana parti itu hanya mempunyai seorang MP.

Sebaliknya, MCA yang mempunyai dua MP, kedua-duanya disertakan dalam Kabinet – dasar membahagi dan memerintah apabila politik identiti menjadi tatacara kaedah sebuah parti politik dalam membuat keputusan, lebih-lebih lagi apabila satu-satunya MP dari parti komponen yang satu lagi, PBRS dijadikan timbalan menteri.

Sebenarnya, tiada mesyuarat BN untuk memutuskan kedudukan menteri BN. Umno sebagai pemimpin kumpulan hanya memutuskan untuk semua. Dan keputusannya hanya berdasarkan kepada politik identiti – Umno sebagai parti yang mewakili orang Melayu mesti memastikan bahawa ahli politiknya memonopoli semua calon kabinet BN, dan menyahkan parti komponen bukan Melayu seperti MIC meskipun ia telah menjadi anggota BN yang setia selama 55 tahun.

Dan untuk memburukkan lagi keadaan, sebagai reaksi sikap tunggu dan lihat MIC dalam hal memutuskan hubungan dengan PN, seorang anggota veteran Umno telah membidas MIC, dengan menyifatkan kehadiran parti itu dalam BN sebagai tidak lebih dari beban yang tidak perlu, menyamakannya dengan membawa ‘biawak mati’ sambil mengalu-alukan parti itu meninggalkan BN.

MIC, menurut Vigneswaran kini adalah parti yang sangat matang dan tidak akan berada di bawah telunjuk mana-mana pihak. Beliau kecewa yang MIC setelah mengikuti BN dengan setianya selama 55 tahun kini dianggap tidak setia semata-mata kerana membuka mulut untuk mengemukakan beberapa pertanyaan.

“Hati nurani saya sangat jelas. Saya tahu saya tidak menghina sesiapa walaupun parti saya telah dihina dengan pelbagai cara selama bertahun-tahun,” tambah Vigneswaran.

Seminggu setelah Umno memutuskan untuk tidak bersama dengan PN pimpinan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), MIC pula menyokong PN sementara menunggu keputusan muktamad majlis tertinggi BN mengenainya. MCA juga mengambil pendirian sama.

Tetapi dengan adanya perang dingin antara Umno dengan MIC, di samping pengakuan MIC bertanding dalam PRU15 sebagai pembangkang adalah cabaran yang belum pernah ia hadapi kerana ahlinya tidak mempunyai pengalaman seperti itu, kita boleh membuat kesimpulan parti itu akhirnya akan meninggalkan BN kecuali puak Umno yang mahukan hubungan baik dengan Bersatu dan PAS menguasai Umno.

Keadaan semakin tidak jelas dengan tersebarnya berita terkini mengenai peredaran rakaman audio perbualan telefon kononnya antara presiden PKR Anwar Ibrahim dengan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di mana kedua-duanya gembira dengan ucapan pembukaan dan penutup Zahid di perhimpunan agung Umno yang mana beliau telah meminta para perwakilan memutuskan hubungan dengan Bersatu dengan hanya meminta mereka yang bersetuju untuk berdiri saja.

Rakaman audio itu jelas menunjukkan Zahid bersekongkol dengan Anwar untuk melemahkan kerajaan PN dan juga diedarkan di media sosial.

Ekoran berita rakaman video itu, MP Umno bagi Padang Rengas Nazri Abdul Aziz memberi amaran BN akan mempunyai peluang tipis untuk memenangi PRU15 sekiranya Zahid terus kekal sebagai presiden Umno dan ketua BN.

Beliau juga mendakwa Zahid tidak lagi dihormati di kalangan parti komponen BN dan meminta Timbalan Presiden Umno Mohamed Hasan mengambil alih.
Apa yang menarik di sini ialah asas sokongan Zahid dalam Umno telah berpaling menentangnya, kerana Nazri berada di bawah puak yang mahu Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Gesaan agar beliau mengundurkan diri telahpun dibuat puak yang mahu Umno mengekalkan hubungan baik dengan Bersatu dan PAS demi kesatuan ummah.

Seruan untuk Zahid dan pucuk pimpinan untuk melepaskan jawatan mereka semakin kuat.

Pada 5 April, ketua bahagian Simpang Renggam, Zakaria Dullah membuat seruan tersebut dengan berkata ini demi Umno dapat terus kekal relevan dalam landskap politik negara dan merupakan cara terbaik bagi Umno untuk membersihkan imej “panglima perang feudal” jika ingin berubah.

Jamari Mohtar adalah Pengarah, Media & Komunikasi di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.