Dewasa ni, acap kali kita digemparkan dengan berita pelik yang berlaku di beberapa tempat di Malaysia termasuk di Kuala Lumpur.
Beberapa kejadian yang berlaku misalnya di Jalan Maharajalela yang mana sebuah kereta Myvi telah ditelan dalam lubang. Kejadian kedua terjadi di Jalan Pinang iaitu dalam kawasan segitiga emas (Jalan menuju Loke Yew dan Persimpangan Hang Tuah). Manakala kejadian ketiga pula berlaku di Jalan Dewan Bahasa Pustaka yang didapati berlaku disebabkan oleh paip bawah tanah pecah.
Fenomena alam semulajadi berlaku tanpa sebarang amaran telah memberi ancaman kepada manusia kerana ia boleh terjadi di mana-mana sahaja sekeliling kita termasuk di belakang rumah tanpa kita sedari. Yang lebih merisaukan, ia mampu menelan kediaman, kenderaan, nyawa, bangunan perniagaan dan struktur lain. Orang ramai mula melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka dan impak kepada harta benda mereka terutama apabila kejadian ini berlaku di sekitar kediaman mereka.
Runtuhan pada permukaan tanah yang dikenali sebagai lubang benam (sinkhole) terjadi akibat pembentukan rongga-rongga kosong di bawah permukaan. Apabila sesuatu bebanan berat misalnya pembinaan struktur atau bangunan di permukaan, rongga akan runtuh dan seterusnya membentuk lubang benam. Lubang benam ini didapati boleh bervariasi dalam pelbagai saiz. Kebiasaannya saiz lubang benam ini bergantung kepada saiz rongga itu sendiri. Lebih memburukkan keadaan ialah apabila lubang benam kecil telah merebak menjadi lebih besar.
Kebiasaannya, krisis geobencana seumpama ini terjadi di kawasan yang didasari oleh formasi batu kapur misalnya di beberapa kawasan sekitar Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Pahang. Manakala, sebanyak 80% kawasan Lembah Klang pula dilitupi oleh batu kapur. Kawasan tersebut didapati memang mempunyai banyak rongga serta bumbung batuan nipis sehingga menggundang bencana yang tak diingini.
Hal ini kerana, sifat semulajadi batu kapur yang mudah terlarut melalui proses perlarutan kimia sehingga membentuk rongga di bawah subpermukaan. Kesannya, runtuhan tanah berlaku pada rongga seterusnya membawa kepada pembentukan lubang benam.
Perubahan iklim juga menjadi faktor yang mengawal kejadian ini. Apabila musim kemarau, kelembapan tanah menjadi rendah menyebabkan ikatan zarah tanah menjadi longgar seterusnya membentuk rongga. Pergerakkan tanah dalam rongga ini secara berterusan boleh menyebabkan terbentuknya lubang benam.
Manakala pada musim tengkujuh pula, air hujan akan menyerap karbon dioksida di udara dan menjadi larutan asid lemah. Air berasid tersebut kemudiannya akan melalui bahagian batu kapur dan bertindak dengan karbonat lemah (CaCO3) pada zon retakan. Proses luluhawa kimia ini akan menyebabkan retakan membesar sehingga membentuk rerongga. Semakin hari, rongga tadi akan menjadi besar menyebabkan bahagian atas menjadi nipis seterusnya membentuk lubang benam apabila bahagian tersebut runtuh.
Disebabkan oleh faktor- faktor itu, adalah penting untuk menjalankan penyiasatan tapak terlebih dahulu dengan menggunakan kaedah geofizik yang dicadangkan sebelum membina sesuatu struktur atau bangunan di atas permukaan tanah.
Adalah menjadi tugas ahli geofizik untuk membantu memberi sokongan konsultasi dan melakukan penyiasatan tapak di kawasan yang berisiko tinggi. Meskipun krisis geobencana ini berkait dengan faktor semulajadi dan boleh berlaku di mana-mana, namun begitu ia masih boleh diatasi dengan menggunakan beberapa kaedah geofizik yang disyorkan.
Setiap input geofizik yang digunakan akan memberikan parameter fizik bahan bumi yang berlainan seperti halaju gelombang tanah, kemagnetan dan ketumpatan bahan subpermukaan. Kesesuaian kaedah yang dipilih memainkan peranan penting untuk memperoleh hasil penyiasatan subpermukaan tapak yang memuaskan.
Oleh yang demikian, kaedah keberintangan geoelektrik merupakan kaedah yang paling disyorkan berbanding kaedah lain seperti seismos pantulan, mikrograviti dan juga kaedah radar tusukan bumi (GPR). Dalam survei kejuruteraan, teknik pengimejan keberintangan geoelektrik merupakan pendekatan yang semakin kerap mendapat perhatian.
Kaedah ini mula diperkenalkan seawal abad ke- 20 dan digunakan secara meluas dalam bidang kejuruteraan terutamanya penyiasatan tapak pembinaan termasuklah mengesan kehadiran rongga dan lubang benam. Kaedah ini mengguna pakai alat pengukur arus elektrik bersama elektrod keluli yang dicucuk ke permukaan bumi melalui susun atur tertentu. Sentuhan antara elektrod tersebut dengan tanah bertujuan untuk menyalurkan arus elektrik ke dalam bumi dan menyukat beza keupayaan bahan bumi.
Keupayaan input geofizik yang digunakan tidak dapat disangkal lagi. Teknik ini berupaya untuk menggambarkan subpermukaan melalui analisis sebaran arus kerintangan elektrik dalam bumi. Antara kebaikan kaedah ini ialah ia memberi ketepatan data, mudah dikendalikan, sumber kuasa dari bateri yang dicas dan tidak melibatkan penggerudian yang dalam. Oleh itu, penggunaan kaedah keberintangan geoelektrik lebih tertumpu kepada pengesanan rongga dan lubang benam.
Secara keseluruhannya, input geofizik yang dinyatakan ini termasuk dalam kerja penyiasatan tapak. Perkembangan teknologi pada hari ini telah membantu memudahkan kerja penyiasatan. Pihak pemaju atau perunding projek dapat melakukan langkah pencegahan dengan melakukan penyiasatan tapak dengan mengkaji struktur tanah terlebih dahulu bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku pada kemudian hari. Keengganan pihak pemaju berbuat demikian akan menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos membaik pulih yang lebih tinggi akibat krisis geobencana itu.
Akhir kata, keadaan bumi yang dinamik menyebabkan ia tidak akan pernah berhenti memukau kita dengan pelbagai fenomena alam yang mampu mengancam nyawa manusia. Sifat manusia yang lemah mana mungkin mampu untuk menolak bencana. Akan tetapi, kita boleh mengambil langkah pencegahan awal sebelum berdepan dengan krisis geobencana yang lebih dasyat pada kemudian hari.
—
Rujukan:
- Abdul Rahim Samsudin, Rahman Yaacup & Lakam a/k Mejus. 2001. Some Case Studies on Application of Geolectrical Resistivity Imaging for Geotechnical Site Investigation in Malaysia. Proceedings-International Conference on Insitu Measurement of soil Properties and Case Histories (INSITU 2001), Bali, 177-181.
- Sarimah Mat (1999). Kajian Lubang Benam Menggunakan Kaedah Mikrograviti: Kajian Kes- Kejadian Lubang Benam di Sekolah Menengah Convent, Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh. Skudai. Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia.
- ABEM (1998). Instruction Manual. Terrameter SAS 4000. Nitro Consult Company, Sweden.
- Abd. Kahar Embi (2001). Penggunaan Kaedah Resistiviti Pengimejan 2D Dalam Kajian Lubang Benam. (Thesis). Universiti Sains Malaysia.
Artikel ini disediakan oleh Nur Shahazira Izzati dan Mohd Hariri Arifin dari Universiti Kebangsaan Malaysia
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow