- Iklan -
Rencana

Kalimah Allah diperlekeh lagi

Hendak berpolitik, berpolitiklah tetapi jangan sampai melanggar sempadan tauhid umat Islam.

Ikbal Salam
3 minit bacaan
Kongsi
Tulisan kaligrafi Allah dalam khat Arab di Masjid Edirne. Gambar: AP
Tulisan kaligrafi Allah dalam khat Arab di Masjid Edirne. Gambar: AP

Semakin berani ahli politik veteran bukan Islam menjadikan kalimah Allah sebagai modal politik mereka. Jika pun ingin menggambarkan dakwaan kelemahan lawan politiknya dari parti berbeza, ia tidak langsung menjustifikasikan beliau boleh menggunakan kalimah Allah yang esa untuk menyindir mana-mana pihak yang menjadi musuh politiknya.

Apakah ketika beliau memilih untuk menggunakan kalimah Allah dalam hantaran media sosialnya, tidak terfikir olehnya bahawa kalimah Allah yang ahad adalah teras tauhid umat Islam yang mana mencuit kalimah itu seakan-akan mempertikaikan asas keimanan umat Islam.

Hendak berpolitik, berpolitiklah tetapi jangan sampai melanggar sempadan tauhid umat Islam. Atas apa hujah sekalipun adalah amat menghina dan mencabar untuk menuding kepada Allah bagi mencela musuh dalam pertelingkahan fahaman politik.

Namun alah bisa tegal biasa, selepas membuat sesuatu kenyataan jahat sedemikian, maka kenyataan itu akan dipadamkan sedangkan kerosakan telah dilakukan dan akhirnya seperti biasa ianya akan dikatakan difahami oleh pembaca diluar konteks dan episod itu berakhir dengan permohonan maaf atau lebih buruk lagi didiamkan begitu sahaja kerana kita mudah sangat memaafkan.

Sedar atau tidak kalimah Allah ini sering sangat menjadi mangsa kebencian terhadap umat Islam. Beberapa minggu lalu kita melihat aksi selamba seorang pelanggan yang memesan makanan melalui aplikasi khidmat penghantaran menggunakan namanya sebagai “Anak Allah Taala”.

Perbuatan ini jelas memperlekehkan kalimah suci umat Islam hingga menimbulkan kemarahan sekumpulan anak muda Islam. Bagi pihak yang masih kerap bertanyakan apakah implikasi buruk penggunaan kalimah suci umat Islam oleh orang bukan Islam, inilah antara kesan gangguan ketenteraman awam yang segera terserlah apabila kalimah Allah tidak lagi menjadi ekslusif milik umat Islam dan dibebaskan penggunaannya kepada orang bukan Islam.

Selain dipermainkan ahli politik, mutakhir ini kian banyak video-video yang mengolok-olok ajaran agama Islam tersebar di media sosial. Ada yang mengejek seruan azan, menghina pergerakan solat dan mempermainkan pula kalimah Allah. Setiap kali ianya mula tular, setiap kali itulah pula pelaku akan membuat kenyataan memohon maaf.

Pada waktu di mana ahli-ahli politik Melayu Islam pun tak tahu untuk berada di kelompok mana, umat Islam kelihatannya tidak lagi boleh bergantung harapan tinggi kepada ahli-ahli politik untuk memperkasakan agama Islam kerana ternampak jelas bahawa Islam dan perpaduan Melayu adalah sekadar instrumen retorik untuk menggapai puncak kuasa. Hendak pertahankan kalimah Allah dan Islam sangat pun nanti rakan sekutu politik terguris pula.

Kita pun tidak boleh hanya berpaut kepada papahan undang-undang untuk mempertahankan agama kita. Sementara kita perlu memartabatkan dan meletakkan undang-undang negara pada tempat yang tinggi, pergantungan yang keterlaluan kepada tongkat perundangan akan menyebabkan umat Islam dan bangsa Melayu menjadi umat yang begitu lemah dan tidak bermaya.

Lebih daripada itu banyak peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan telah kini diterjemahkan dalam konteks secara bertentangan dari apa yang difahami orang Islam selama ini hingga agama lain itu boleh pula melepasi sempadan yang digarispandukan oleh peruntukan perlembagaan. Peruntukan berkaitan kebebasan beragama itu kini telah dimanfaatkan oleh agama lain hingga menjadikan ketertinggian agama Islam menjadi terhakis.

Perlu diakui bahawa papahan undang-undang tidak boleh selamanya melindungi umat Islam.  Apabila serangan itu kian menjadi-jadi, tongkat yang memapah itu akan akhirnya jatuh juga menyembah bumi. Perlindungan undang-undang juga membawa erti kebergantungan yang keterlaluan terhadap agensi dan jabatan kerajaan sahaja sedangkan gerakan agama lain didukungi dan dilaksanakan  oleh badan-badan dan organisasi NGO mereka.

Status Islam sebagai agama negara dan kuasa Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam negeri termaktub lama sebelum merdeka dan diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Ini menganugerahkan hak kepada agama Islam untuk diberikan keistimewaan mengatasi agama lain.

Peruntukan undang-undang memberikan pengiktirafan kepada agama Islam hingga sesiapa yang didapati menghina agama Islam boleh dikenakan hukuman atas kesalahan jenayah. Namun dek kelekaan kita, peruntukan enakmen atau fatwa seringkali dilihat sebagai punca perundangan kelas kedua dan tidak begitu diendahkan.

Tidak banyak pilihan yang ada selain kita perlu keluar dari bergantung kepada papahan undang-undang dan bangkit sebagai satu umat yang kuat yang dirasakan kehadirannya melalui kesatuan suara tanpa dipecah-pecahkan oleh kabilah politik. Kita mungkin boleh berbeza pandangan akan soal-soal siasah politik dan pentadbiran tetapi bukan soal kesucian agama Islam. Jika tidak, kita akan tertinggal dan mereka yang tertinggal akan dilupakan dan tidak lagi dihitung.

Hari ini susah sangat nak mencari berita yang baik-baik tentang Malaysia, kebanyakan berita hanya yang menyedihkan dan memalukan sahaja. Ramai kita prihatin dengan Palestin tetapi sementara kita sibuk membantu Palestin, kita di Malaysia pun sebenarnya perlu sangat dibantu. Akibat kelemahan kita maka orang bukan Islam kian berani memperlekehkan agama kita.

Daripada ahli politik di persada kuasa, tokoh korporat di kotaraya hinggalah ke petani di desa kita semuanya perlu digugah untuk bangkit membantu akidah, ekonomi, pendidikan dan tahap sosial umat Islam yang kian tertinggal sehingga ada yang merungut merasakan beban menjadi Melayu di negara kita. Umat Islam yang kaya dan kuat akan membantu menjadikan asas negara kita kukuh kerana umat Islam adalah penduduk majoritinya. Sesungguhnya masa tidak lagi menyebelahi kita jika kita masih lagi mahu dihitung.

Ikbal Salam adalah peguam bela dan peguam cara

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow